
KUCHING, 12 Julai – Bekalan bahan api bagi sektor tenaga negara kekal terjamin meskipun situasi di Selat Hormuz masih terjejas akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
- Petronas dan kerajaan mengadakan rundingan proaktif, termasuk usaha Perdana Menteri di peringkat antarabangsa.
- Ketidaktentuan harga minyak dan gas global menjadi cabaran utama, berpotensi menjejaskan kos bekalan dan kewangan negara.
- Kerajaan komited meneruskan subsidi dan bantuan sambil merancang strategi bagi memastikan kemampanan kewangan negara.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan bekalan tenaga negara tidak terjejas.
Menurutnya, Malaysia ketika ini tidak berdepan sebarang masalah bekalan susulan langkah proaktif yang diambil Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersama kerajaan menerusi rundingan di pelbagai peringkat.
“Melalui Petronas, kita telah mengadakan rundingan, termasuk usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan pertemuan di pelbagai negara bagi memastikan bekalan tenaga kita terus terjamin.
“Setakat ini, bekalan tenaga negara berada dalam keadaan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penangguhan Regatta 2026 di Jeti Utama Kampung Sejijak, di sini, hari ini.
Datuk Seri Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, bagaimanapun berkata, ketidaktentuan harga minyak dan gas di pasaran global akibat konflik geopolitik masih menjadi cabaran utama kepada negara.
Katanya, walaupun bekalan tenaga mencukupi, turun naik harga komoditi dunia berpotensi memberi kesan terhadap kos bekalan dan kedudukan kewangan negara.
“Bekalan memang terjamin, tetapi dari segi harga ia merupakan satu cabaran. Volatiliti harga minyak dan gas di pasaran dunia sudah tentu akan memberi kesan kepada kedudukan (bekalan) negara,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu turut memberi tekanan kepada kewangan kerajaan yang masih komited meneruskan pelbagai bentuk subsidi dan bantuan bagi meringankan beban rakyat.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus merancang strategi terbaik bagi memastikan kemampanan kewangan negara dapat dipelihara tanpa menjejaskan keutamaan untuk membantu rakyat.
“Ini merupakan cabaran yang perlu kita hadapi dan kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan, di samping meneruskan bantuan kepada rakyat,” katanya.