
KUALA LUMPUR , 4 September – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab mengurus proses pilihan raya negara secara adil, telus, cekap dan berintegriti.
- SPR terus melangkah seiring perubahan zaman untuk memperkukuh sistem demokrasi menerusi pilihan raya.
- SPR akan terus meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat secara cekap dan telus.
- SPR berhasrat menjadi institusi demokrasi yang diyakini, memastikan proses demokrasi negara terpelihara dan sejahtera.
- Keanggotaan SPR berkembang sejak penubuhan hingga diperluas kepada tujuh anggota selepas pindaan Perlembagaan 2002.
SPR menerusi hantaran di Facebook sempena ulang tahun penubuhan ke-69 pada Jumaat memaklumkan, SPR terus melangkah seiring perubahan zaman dalam memperkukuh sistem demokrasi menerusi pilihan raya.
SPR juga akan terus meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dengan cekap dan telus.
“Semoga SPR terus teguh melangkah, kukuh berintegriti dan terus menjadi institusi demokrasi yang diyakini, dalam memastikan proses demokrasi negara sentiasa terpelihara dan sejahtera.
“SPR, cekap dan telus,” menurut hantaran itu.
SPR ditubuhkan pada 4 September 1957 mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dan semasa penubuhannya SPR dianggotai oleh seorang pengerusi dan dua orang ahli.
Pengerusi pertama suruhanjaya itu ialah Datuk Dr Mustafa Albakri Hassan, manakala dua ahli ketika itu ialah Lee Ewe Boon dan Ditt Singh.
Berikutan dengan penubuhan Malaysia pada 1963, bilangan ahli suruhanjaya itu ditambah kepada tiga orang. Ahli tambahan itu sama ada dari Sabah atau Sarawak yang dilantik secara bergilir-gilir.
Susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2002, keanggotaan SPR kemudiannya diperluas kepada tujuh orang pada 2002, terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi dan lima ahli, termasuk masing-masing seorang wakil dari Sabah dan Sarawak.
Bagi membolehkan ia menjalankan fungsinya, SPR membentuk sebuah Urus Setia yang diketuai oleh seorang Setiausaha. Setiausaha ini berperanan sebagai ketua pentadbir bagi urus setia berkenaan. Setiausaha pertama yang dilantik ialah H. Cassidy yang berkhidmat dari tahun 1957 hingga 1958.