
KOTA BHARU, 4 Sept – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyediakan peruntukan RM1.5 juta tahun ini bagi membiayai kos guaman ahlinya yang berdepan tindakan undang-undang berkaitan tugas rasmi.
- NUTP memberi bantuan guaman untuk kes saman sivil dan pendakwaan jenayah berkaitan tugas rasmi guru.
- Bantuan hanya untuk guru berdaftar ahli NUTP; panel firma guaman ditugaskan mempertahankan kes ahli.
- Trend menunjukkan lebih banyak saman sivil difailkan terus oleh ibu bapa atau masyarakat; kes jenayah sering melibatkan Seksyen 323.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, bantuan itu meliputi kes saman sivil dan pendakwaan jenayah, dengan kos guaman bagi sesetengah kes boleh mencecah sehingga RM80,000.
Menurut beliau, kemudahan berkenaan diberikan sepenuhnya kepada guru yang berdaftar sebagai ahli NUTP.
“Ada saman, ada saman dah berakhir, ada prosidingnya sedang berjalan di mahkamah. Setiap kes ahli NUTP, kita sudah ada panel firma guaman yang akan bertanggungjawab terhadap pembelaan kepada kes-kes kita,”katanya kepada media pada Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP Ke-24 di Kota Bharu.
Aminuddin berkata, trend semasa menunjukkan semakin banyak saman sivil difailkan secara terus terhadap guru secara individu oleh ibu bapa atau masyarakat, berbanding melalui jabatan pendidikan atau kerajaan seperti kebiasaan sebelum ini.
Katanya, sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 16 kes telah menerima bantuan guaman NUTP, termasuk tiga kes yang sedang dibicarakan di Kelantan.
“Kebanyakan kes jenayah yang dihadapi guru melibatkan Seksyen 323 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan mendatangkan kecederaan ringan, terutamanya insiden tidak sengaja ketika mengawal disiplin murid,” katanya.
Pada masa sama, bantuan guaman turut ditawarkan bagi kes pendakwaan jenayah sekiranya siasatan mendapati wujud unsur penganiayaan.