
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Aspek pengukuhan tadbir urus dan tatakelola institusi antara fokus utama dalam cadangan pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966.
- Beberapa peruntukan Akta MARA perlu diperhalusi kerana tidak selari dengan realiti dan keperluan masa hadapan.
- Perlu pengasingan jelas antara lembaga pengarah dan pihak pengurusan bagi memperkukuh tadbir urus moden.
- Pemusatan kuasa pada pengerusi dan Majlis Mara berpotensi mendedahkan institusi kepada risiko kelemahan tadbir urus.
- Ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen mengekalkan peruntukan tinggi untuk pendidikan MARA.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beberapa peruntukan akta perlu diperhalusi kerana ia tidak selari dengan realiti serta keperluan masa hadapan.
Langkah itu sekali gus berfungsi memperkasa agenda bumiputera dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan integriti serta prinsip tadbir urus yang baik.
“Dalam konteks tadbir urus moden hari ini kita boleh lihat bahawa perlu ada pengasingan antara lembaga pengarah dengan pihak pengurusan. Itu satu contoh yang saya boleh tunjukkan bagaimana pentingnya dalam realiti hari ini perlukan kita membuat pembaharuan dan pindahan kepada Akta itu dan banyak lagi aspek lain.
“Ketika saya dibertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Mara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudahpun memberikan satu amanah bahawa perkara yang paling penting kena lihat ialah soal tadbir urus MARA ini kerana kalau kita nak buat apa-apa sekalipun aspek integriti, tadbir urus, tata kelola kewangan itu mesti berada pada tahap yang paling baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan 60 Tahun MARA yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara.
Antara isu utama dikenal pasti ialah pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada pengerusi dan Majlis Mara dalam akta sedia ada, yang berpotensi mendedahkan institusi kepada risiko kelemahan tadbir urus.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas komitmen berterusan dalam menyalurkan peruntukan kewangan yang tinggi kepada MARA khususnya bagi sektor pendidikan.
“Saya bagi pihak keluarga MARA, mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak pernah potong perbelanjaan dan peruntukan yang melibatkan pendidikan anak bangsa kita dan sentiasa memberi keutamaan kepada MARA,” katanya.