fb fb fb fb fb

6,000 polis Pulau Pinang ditugaskan sepanjang PRN

BUKIT MERTAJAM, 23 Jun - Polis Pulau Pinang telah bersedia menggerakkan anggotanya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata seramai 6,000 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang PRN berlangsung.

Katanya, bantuan daripada Bukit Aman dan juga daripada kontinjen lain juga turut akan digerakkan mengikut keperluan bagi melancarkan lagi perjalanan proses pilihan raya.

(Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin)

“Kita memang telah buat persiapan untuk menghadapi PRN bermula daripada proses penamaan calon, kempen, undi awal, hari pengundian serta pasca PRN. Setakat ini, kekuatan kita menghadapi PRN adalah lebih 6,000 anggota dan kalau perlu kita akan minta bantuan kontinjen lain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, di sini.

Tambah Kok Chin, pihaknya juga akan melaksanakan Op Cantas sepanjang PRN bagi memastikan tiada sebarang kekecohan berlaku.

“Kita akan lakukan Op Cantas dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman supaya tindakan awal dilakukan ke atas sesuatu yang kita fikir boleh mencetuskan kekecohan.

“Selain itu, terdapat juga bantuan daripada pasukan pemantau udara menggunakan helikopter dan dron, pasukan Light Strike Force (LSF), pasukan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan pasukan lain termasuk pasukan pencegahan jenayah untuk negeri ini," katanya.

Media Baharu