IJOK, 29 November - Sebanyak 54 fasiliti kesihatan di seluruh negara dilaporkan terjejas akibat banjir, namun tiada hospital terlibat setakat ini.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kemudahan yang terjejas melibatkan klinik kesihatan (KK) dan klinik desa (KD) di beberapa negeri termasuk Kelantan, Perak, Terengganu, Selangor, Kedah dan Pahang.
"Di fasaliti-fasiliti kami di seluruh negara, 54 yang terjejas, 25 telah berpindah lokasi. Saya akan bergegas ke beberapa tempat esok pagi di Perlis, kami ada 11 fasiliti yang terjejas di negeri Perlis sahaja.
"Selainnya daripada 54 itu , 29 masih boleh beroperasi seperti biasa. Fasaliti yang terjejas terutamanya Kelantan ada 12 yang terjejas, Perak juga 12 dan Terengganu 10, Selangor ada dua dan Kedah juga dua dan pahang satu saja. Keseluruhannya terdapat 54 buah," katanya ketika melawat ke PPS Sekolah Rendah Agama Ijok di Kuala Selangor.
Pihaknya akan terus memantau fasiliti yang terjejas dan bersedia mengatur penugasan semula petugas sekiranya diperlukan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terganggu.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa tiada kes penyakit bawaan air di kesan dalam kalangan penduduk terkesan banjir di seluruh negara setakat ini.
Hasil pemeriksaan terhadap 2,672 orang, menunjukkan 433 kes jangkitan saluran pernafasan akut, 134 kes jangkitan kulit, 27 kes cirit-birit dan 6 kes konjunktivitis atau sakit mata.
