KUCHING, 1 November - 44 projek pembangunan sektor air dan pembetungan diluluskan untuk dilaksana di Sarawak menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan nilai RM5.995 bilion.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memberitahu projek itu melibatkan 11 projek baharu dan 33 projek sambungan pelbagai komponen infrastruktur penting dalam negeri.
"Kerajaan memperuntukkan RM195.6 juta tahun depan untuk projek air dan pembetungan di Sarawak, meningkat 53.17 peratus berbanding tahun ini.
"Daripada jumlah itu, 27 projek bernilai RM172.4 juta dibiayai Kerajaan Persekutuan manakala 17 projek lagi melalui kaedah pinjaman berjumlah RM23.24 juta," jelas beliau pada Majlis Libat Urus Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama media di sini, pada Jumaat.
Fokus pembangunan PETRA di Sarawak merangkumi projek tebatan banjir, pencegahan hakisan pantai, pemeliharaan sungai, bekalan air, dan pembetungan, khususnya di kawasan bandar utama termasuk di Kuching.
Beliau turut menegaskan pelaksanaan projek perlu dilaksana dengan perancangan teliti bagi memastikan keberkesanan dan mengelak kesan kepada penduduk setempat, di samping memastikan setiap projek memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.