fb fb fb fb fb

40,000 Keluarga Malaysia hadir Rumah Terbuka Aidilfitri di Bera

BERA,7 Mei - Hampir 40,000 Keluarga Malaysia meluangkan masa menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera 2022 berlangsung di Laman Kerayong di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri Yaakob yang tiba pada jam 9.40 pagi itu turut meluangkan masa bertemu serta bertanya khabar dengan pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dari Bera dan daerah berhampiran.

Pelbagai juadah sinonim dengan sambutan hari raya khususnya makanan Pantai Timur seperti lemang, ketupat palas, rendang, nasi dagang dan laksa lemak disajikan kepada pengunjung menerusi 32 buah gerai selain turut dilengkapi dengan pencuci mulut seperti cendol, aiskrim dan apam balik.


(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penyedia juadah
pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera 2022 di Laman Kerayong, hari ini/BERNAMA)

Perdana Menteri menyifatkan rumah terbuka kali ini amat istimewa kerana masyarakat di daerah Bera masih mengamalkan tradisi memasak secara gotong royong menyediakan juadah.

"Dari segi makanan yang disediakan ini adalah daripada cawangan-cawangan kampung-kampung. Jadi kampung ini mungkin buat lemang kampung, sebelah mungkin buat rendang, kampung lain buat ketupat. Jadi setiap kampung akan terlibat di dalam jamuan sambutan hari raya.

"Maknanya, ini adalah perkumpulan warga Bera kampung-kampung datang kerana dia ada gerai sendiri dan tentu sahaja penduduk kampung itu akan keluar dan setiap tahun memang inilah acara rumah terbuka yang dilakukan di Bera", katanya kepada media di sini.

Perdana Menteri juga mengingatkan pengunjung rumah terbuka untuk terus mengamalkan kawalan kendiri khususnya memakai pelitup muka semasa berada di kawasan sesak atau semasa mengambil makanan.

Media Baharu