ARAU,4 Julai - Pelaksanaan AI Summer Camp membuka ruang kepada hampir 300 pelajar sekolah rendah dan pusat latihan TVET meningkatkan daya saing dalam bidang kecerdasan buatan.
Melalui pendekatan secara langsung dan berasaskan projek, peserta dilatih berfikir secara kreatif dan berinovasi serta menjadi pembimbing yang berkemahiran kepada rakan-rakan.
Pengarah Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin memaklumkan, menerusi kajian pasca-program AI Summer Camp peringkat universiti di tiga zon pada tahun lalu, telah menunjukkan peningkatan ketara dalam pemahaman kecerdasan buatan dalam kalangan peserta.
Ini membuktikan pendekatan secara langsung iaitu melibatkan pelajar secara terus dalam elemen baharu pembelajaran berasaskan AI dapat mempercepatkan literasi pemahaman di kalangan pelajar.
Beliau memaklumkannya pada Majlis Penutup Program AI Summer Camp TVET Se-Malaysia 2025 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau Perlis.
Hampir 300 peserta terlibat mewakili 23 buah politeknik dan kolej komuniti zon utara serta 29 buah sekolah rendah seluruh Perlis, bermula 1 Julai lalu.
Perasmian penutup disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai penaung FCoEE.
AI Summer Camp akan diteruskan ke Zon Timur di Politeknik Kota Bharu, Kelantan dan Zon Tengah di Politeknik Bagan Datuk, Perak.