PM hadir saksikan penganjuran Gulf Air Bahrain Grand Prix

 Foto Bernama

SEPANG, 1 Oktober -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menyaksikan sendiri penganjuran Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, selain meninjau persiapan serta kemeriahan acara yang menghimpunkan peminat sukan permotoran dari dalam dan luar
negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif BIC, Sheikh Salman Isa Al Khalifa, dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.
  • Meninjau Fan Zone dan suasana sambutan peminat sempena penganjuran perlumbaan.
  • Menyertai Pit Lane Walk dan meneruskan lawatan serta pertemuan di sekitar litar.
  • Kehadiran beliau mencerminkan kepentingan Gulf Air Bahrain Grand Prix; buat julung kali membawa perlumbaan Bahrain ke Sepang dalam format khas.

Beliau tiba di SIC kira-kira pukul 3.05 petang sebelum menuju ke Pejabat Litar untuk mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain (BIC), Sheikh Salman Isa Al Khalifa dan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Pertemuan kira-kira pukul 4.00 petang itu kemudian disusuli dengan pergerakan Perdana Menteri ke kawasan Fan Zone, bagi meninjau suasana sambutan peminat sempena penganjuran perlumbaan berkenaan.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan acara berkenaan.

Perdana Menteri kemudiannya bergerak ke kawasan Mall Area, dengan diiringi Sheikh Salman dan Azhan Shafriman, bagi melihat sendiri suasana di sekitar litar.

Dalam kunjungan itu, beliau turut menyaksikan persembahan dan latihan Pancaragam Pusat Kor Armor DiRaja, PP KAD, bersama Pancaragam Polis Bahrain.

Terdahulu, sejurus tiba di SIC, Perdana Menteri turut berkesempatan menyertai Pit Lane Walk sebelum meneruskan agenda pertemuan dan lawatan di sekitar litar.

Kehadiran beliau ke SIC hari ini turut mencerminkan kepentingan penganjuran Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, yang buat julung kalinya membawa perlumbaan Formula Satu Bahrain ke Litar Antarabangsa Sepang dalam format khas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.