BANGSAR, 12 September – Sebanyak 2,752 kes kehamilan melibatkan remaja bawah umur 18 tahun telah direkodkan pada tahun 2024, menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2025 sahaja, sebanyak 655 kes telah dilaporkan.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), angka tersebut menunjukkan bahawa golongan remaja sedang berdepan cabaran besar yang boleh menjejaskan pendidikan, peluang serta masa depan mereka.
Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, Mohd Daud Mohd Arif, berkata kehamilan remaja bukan sahaja memberi kesan kepada ibu muda, malah turut memberi tekanan kepada institusi keluarga, mencetuskan kitaran kemiskinan dan membawa stigma sosial.
“Kes-kes ini kebanyakannya berpunca daripada kekurangan ilmu dan perlindungan, termasuk pendidikan kesihatan reproduktif yang terhad, kesedaran rendah mengenai keselamatan diri, perkahwinan kanak-kanak dan keganasan seksual,” katanya ketika mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucapan di sini hari ini.
Bagi menangani isu itu, KPWKM memastikan ibu muda mendapat sokongan sewajarnya, di samping memperluas akses pendidikan dan penjagaan kesihatan reproduktif kepada remaja perempuan agar mereka mampu melindungi masa depan sendiri.
Sementara itu, melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Malaysia sedang memperluas rawatan kesuburan mampu milik, menyediakan bantuan kewangan serta mempromosikan gaya hidup mesra keluarga kepada pasangan yang ingin berkeluarga.
KPWKM turut menekankan peranan penting para profesional kesihatan dan kaunselor yang sering menjadi barisan hadapan dalam membantu remaja mangsa penderaan atau ibu muda, selain membimbing golongan belia mengenai isu persetujuan, keselamatan serta kesihatan reproduktif.