LABUAN, 27 September - Sebanyak 27 kampung di Labuan menyertai Program Hari Cuci Malaysia dan Gotong-Royong Perdana yang berlangsung serentak hari ini.
Majlis pelancaran diadakan di Balai Raya Kampung Lajau dan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib.
Dalam kenyataannya, beliau berkata Hari Cuci Malaysia merupakan program tahunan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diadakan pada hari Sabtu minggu terakhir bulan September.
Katanya, program kali ini dikelolakan oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Perbadanan Labuan dengan kerjasama JPKK Kampung Lajau.
“Inisiatif ini memperkukuh budaya kebersihan dan semangat gotong-royong dalam kalangan komuniti setempat,” jelasnya.
Aktiviti gotong-royong meliputi pembersihan kawasan awam, jalan utama, longkang, parit serta lokasi tumpuan komuniti.
Menurutnya, program itu bukan sahaja memupuk kesedaran sivik terhadap kebersihan, malah menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menjayakan visi Wilayah Persekutuan melalui Pelan Hala Tuju CHASE CITY, khususnya komponen *Clean City (Bandar Bersih).*
Selain itu, usaha berkenaan juga sebahagian daripada persiapan mempertingkatkan imej bandar menjelang penganjuran Borneo Art Festival 2025 dari 13 hingga 17 November depan, yang dijangka menarik pelancong dari dalam dan luar negara.