MADINAH, 11 Mei - Seramai 232 jemaah haji lelaki menerusi penerbangan KT1 dan KT2 diberi peluang menziarahi kawasan Raudhah di Masjid Nabawi, petang semalam.
Aktiviti itu merupakan sebahagian daripada program 'Ziarah Dalam' yang dianjur pihak Lembaga Tabung Haji (TH) kepada semua jemaah haji Malaysia.
Aktiviti yang bermula selepas Solat Jumaat itu dipimpin Pengurus Bimbingan Madinah Ustaz Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman.
Menurutnya jemaah disaran mengambil peluang untuk beribadat sebanyak mungkin ketika berada di Raudhah yang merupakan salah satu lokasi mustajab doa.
"Kawasan Raudhah ini adalah kawasan di dalam Masjid Nabi SAW, jadi dirikan solat dahulu Solat Sunat Tahyatul Masjid, solat sunat taubat dan sebagainya. Kemudian panjatkan doa sebanyak yang mungkin selama mana kita berada dalam bumi Raudhah tersebut, kerana itu adalah salah satu tempat mustajab berdoa, memanjangkan doa di dalam solat mereka, bila nak panjangkan doa ini dalam sujud mereka, dalam rukuk mereka, di dalam tasyahud mereka, kita panjangkan doa," kata Ustaz Muhammad Fakhrur .
"Macam-macam doa, kawan-kawan mintak tolong doa pun kita tolong doa semua, Alhamdulillah Tabung Haji layanan mereka cukup puas hati," kata jemaah Malaysia, Abdul Ghani Ismail.
"Bukan senang bukan mudah hendak masuk Raudhah ini, jadi terpilih untuk masuk Raudhah ini. Syukur Alhamdulillah, arahan petugas jelas faham dan pergerakan masuk tadi pun Alhamdulillah lancar tiada kesesakan masuk, semuasecara tertib la," kata jemaah Malaysia, Muhd Zulhelmi Muhd Fuad.
Dalam pada itu, jemaah juga digalakkan untuk mengoptimumkan penggunaan aplikasi e-Taib bagi menyuarakan sebarang permasalahan berhubung ibadah haji.
Platform tersebut dikawal selia oleh 10 Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (PIHTAS) yang akan menjawab setiap persoalan yang dikemukakan.