
GENEVA, 14 Julai – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menolak kemungkinan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat empat kali ganda berbanding angka rasmi yang dilaporkan dengan setakat ini telah menjangkiti hampir 2,000 individu dan mengorbankan lebih 700 nyawa, sejak dikesan dua bulan lepas.
- WHO menyatakan penularan Ebola kini lebih pantas berbanding wabak sebelum ini.
- Wabak ke-17 di Republik Demokratik Congo dikesan pada 15 Mei di Ituri.
- WHO yakin wabak boleh dikekang melalui rawatan intensif dan pengesanan kontak.
- Kapasiti rawatan melebihi 700 katil dan kadar pengesanan kontak hampir 80 peratus.
Ketua Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Chikwe Ihekweazu memberitahu berdasarkan angka rasmi itu, virus berkenaan merebak lebih pantas berbanding sebelum ini.
“Ini merupakan wabak Ebola ketiga terbesar yang menunjukkan penularan lebih pantas dalam tempoh sebulan, berbanding yang pernah kami kendalikan,”katanya.
Wabak Ebola ke-17 di DRC dikesan pada 15 Mei selepas beberapa kematian berlaku di Ituri.
Walau bagaimanapun, Ihekweazu tetap positif wabak berkenaan dapat dikekang sebaiknya menerusi rawatan serta pengesanan kontak.
“Kapasiti rawatan kini melebihi 700 katil dan terus meningkat setiap minggu dengan kadar pengesanan kontak semakin menghampiri 80 peratus,” katanya.
“Beberapa hari lepas, kami mengesan lebih 80 kes dalam satu hari,” katanya sambil memaklumkan keadaan itu membawa ‘berita baik’ untuk mengekang wabak berkenaan.-AFP