KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Seramai 23 aktivis dan sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel ketika misi Global Sumud Flotila (GSF), telah dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ramon.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesemua mereka akan diterbangkan ke Istanbul.
"Alhamdulillah, 23 mereka sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang ramon di selatan Israel, mereka akan menaiki pesawat khas dari Turkiye yang akan membawa mereka ke Istanbul," katanya menerusi siaran langsung di Facebook rasmi, sebentar tadi.
Menurut Perdana Menteri, mereka akan dibawa ke Istanbul untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan akan berlepas pulang seawal malam esok atau lusa.
Datuk Seri Anwar berkata langkah itu merupakan hasil rundingan diplomatik yang melibatkan pelbagai pihak termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, Wakil Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Steve Witkoff dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani.