
BAKU, 20 Mei – Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa supaya bergerak bersama dalam mencari penyelesaian terhadap krisis perumahan global yang semakin mendesak.
- Isu perumahan kini melibatkan masa depan dan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar pembinaan rumah.
- Perubahan iklim dan cabaran urbanisasi memberi tekanan besar; laksanakan Agenda Bandar Baharu dan percepatkan Matlamat Pembangunan Mampan.
- Hampir 2.8 bilion menghadapi ketidakjaminan perumahan; lebih dua bilion penduduk bandar terdedah risiko iklim menjelang 2040.
- Malaysia kongsi kejayaan MADANI: 1.1 juta rumah mampu milik, pemilikan 77 peratus, penanaman lebih 115 juta pokok; fokus kepada golongan rentan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Nga Kor Ming berkata isu perumahan hari ini bukan lagi sekadar soal membina rumah, tetapi melibatkan masa depan dan kesejahteraan hidup rakyat.
“Sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Malaysia percaya tiada negara harus menghadapi cabaran urbanisasi secara bersendirian.
“Dunia perlu menggandakan usaha dalam melaksanakan Agenda Bandar Baharu serta mempercepat pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Forum Bandar Sedunia Ke-13 (WUF13) di Azerbaijan yang menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, datuk bandar dan wakil pelbagai negara.
Menurut beliau, dunia kini berdepan tekanan besar termasuk perubahan iklim dan cabaran urbanisasi yang semakin serius, sehubungan itu semua negara perlu memainkan penting dalam menangani isu tersebut.
“Hampir 2.8 bilion penduduk dunia kini berdepan masalah ketidakjaminan perumahan, manakala lebih dua bilion penduduk bandar dijangka terdedah kepada risiko perubahan iklim menjelang 2040,” jelasnya.
Tambah beliau, pembangunan bandar yang lebih inklusif dan berdaya tahan perlu diberi perhatian segera bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Dalam ucapan sama, beliau turut berkongsi pencapaian Malaysia menerusi kerangka Malaysia MADANI termasuk pembinaan lebih 1.1 juta rumah mampu milik, kadar pemilikan rumah mencecah 77 peratus serta usaha penanaman lebih 115 juta pokok di seluruh negara.
Nga turut menggesa pemimpin dunia supaya memberi perhatian lebih serius terhadap keperluan rakyat dalam perancangan bandar, khususnya golongan rentan dan komuniti yang tinggal di kawasan berisiko.
Malaysia dijangka menyerahkan jawatan Presiden Perhimpunan UN-Habitat kepada Emiriah Arab Bersatu tahun depan.