HULU LANGAT, 11 Mei — Seramai 18 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Sungai Lepoh, di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 5.09 petang tadi.
“Kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak yang terkandas akibat kepala air.
“Pasukan penyelamat segera menjalankan kerja-kerja membawa keluar semua mangsa ke kawasan selamat dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 6.32 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian, kira-kira 30 kilometer dari balai.
Menurutnya, seorang daripada mangsa, wanita berusia lingkungan 30-an, mengalami sesak nafas dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.