
KUANTAN, 13 September – Hampir 10,000 peserta berusia 13 hingga 30 tahun memeriahkan Fiesta Rakan Muda @ Pahang 2026.
- 29 aktiviti termasuk pertandingan e-sukan Mobile Legends dan Doodle Art sebagai platform utama Fiesta Rakan Muda.
- Program membentuk generasi muda berakhlak, berdisiplin, berjati diri tinggi dan mengamalkan gaya hidup sihat.
- Kerajaan negeri komited membiayai pembangunan belia; RM600,000 diperuntukkan untuk festival dan anugerah belia 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, program tiga hari itu berlangsung mulai Jumaat hingga Ahad di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Pahang, di sini.
Menurut beliau, sebanyak 29 aktiviti diadakan termasuk pertandingan e-sukan Mobile Legends dan Doodle Art.
“Jadi, platform Rakan Muda ini cukup penting. Sebab itu saya hadir hari ini untuk bersama-sama dengan anak-anak muda, selain berkongsi hasrat Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan dalam melahirkan generasi muda yang mempunyai sahsiah baik, berdisiplin, berjati diri tinggi dan paling penting, mengamalkan gaya hidup sihat, ” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Fiesta Rakan Muda @ Pahang 2026, di sini.
Datuk Fadzli berkata, pengisian Rakan Muda mampu meningkatkan kesedaran golongan muda terhadap cabaran kehidupan, pendidikan, kewangan dan gaya hidup moden.
Kerajaan Pahang juga memberi perhatian terhadap pembangunan golongan belia menerusi pelbagai program di peringkat negeri dan daerah.
Sebelum ini, sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi penganjuran Festival Belia Negeri Pahang serta Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2026 pada Julai lepas.
Peruntukan itu, katanya membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan serta masa depan golongan muda terus diberi keutamaan.