SAUDARA PENGARANG
Tahun 2024 baru sahaja berakhir. Beberapa sorotan dan perkembangan penting dalam pasaran Hartanah di Malaysia yang boleh di jadikan sandaran bagi tahun hadapan buat bakal pembeli dan pelabur di Malaysia. Sebelum itu, mari kita imbas kembali perkara penting dalam pasaran hartanah Malaysia sepanjang tahun 2024.
Berdasarkan Laporan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) yang diterbitkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), awal tahun 2024, dimulakan dengan kedudukan 218.7 mata iaitu mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan lebih sederhana berbanding sebelumnya iaitu sebanyak 0.9%.
Meskipun lebih perlahan berbanding 4.3% yang direkodkan pada 2023, pasaran kekal stabil di tengah ketidaktentuan ekonomi dalam negara dan dunia secara umumnya. Sentimen pengguna juga nampak lebih berhati-hati.
Berdasarkan laporan tersebut, dari sudut prestasi dalam negara, lokasi perhatian seperti Kuala Lumpur mencatatkan sedikit penurunan sebanyak -0.8%. Ini menunjukkan pendekatan berhati-hati dalam kalangan pembeli di ibu kota. Sebaliknya, Sabah muncul sebagai negeri yang mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.5%, disokong oleh permintaan lebih stabil dan peningkatan infrastruktur serantau.
Faktor perkembangan ini mungkin terjadi kerana mendapat sokongan daripada kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang telah memperuntukkan sejumlah RM1.06 bilion bagi membangunkan beberapa infrastruktur utama di Sabah pada tahun ini.
Manakala, dari segi harga purata, Kuala Lumpur kekal sebagai pasaran paling premium dengan purata harga mencecah RM780,728, diikuti oleh Selangor (RM535,390) dan Pulau Pinang (RM471,980). Sebaliknya, Melaka dan Perlis kekal sebagai pasaran paling mampu milik, masing-masing dengan purata harga RM233,255 dan RM235,399.
Selain itu, prestasi mengikut jenis hartanah juga telah memberi gambaran cukup positif terhadap pasaran hartanah di Malaysia. Secara puratanya, rumah teres mencatatkan pertumbuhan stabil sebanyak 1.1%, dengan harga purata sekitar RM453,343. Manakala, bagi Unit bertingkat tinggi, direkodkan mengalami sedikit penurunan sebanyak -0.7%, walaupun negeri seperti Johor dan Sabah berjaya mencatatkan peratusan prestasi positif.
Rumah berkembar pula menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh pada kadar 2.6%, dengan purata harga meningkat kepada RM718,599. Bagi rumah sesebuah pula pertumbuhan adalah sederhana pada kadar 0.5%, tetapi Kuala Lumpur kekal unggul dengan purata harga mencecah RM2.5 juta seunit. Kuala Lumpur, Selangor, dan Sabah mencuri perhatian pelabur dan pembeli untuk tahun ini.
Berdasarkan laporan tersebut, analisis wilayah di beberapa negeri seperti Kuala Selangor (Selangor), Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang dan Kulai (Johor), bersama dengan Seberang Perai (Pulau Pinang), mengalami pertumbuhan harga tahunan berkisar antara 0.6% hingga 5.0% berbanding tahun 2023.
Dijangkakan peningkatan julat ini juga akan menjadi lebih besar bagi tahun 2026. Sepanjang tahun ini juga, Kawasan tersebut muncul sebagai destinasi pelaburan menarik, didorong oleh permintaan konsisten dan peningkatan aksesibiliti kerana beberapa pembanggunan infrastruktur yang baru di wilayah tersebut. Di kawasan pinggir Kuala Lumpur, unit bertingkat tinggi terus menarik minat pembeli dengan harga kompetitif, manakala negeri seperti Sabah dan Sarawak mengekalkan momentum memberansangkan hasil daripada pembangunan infrastruktur yang berterusan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat November 2024, inflasi Malaysia meningkat sebanyak 1.8% dengan indeks mencatatkan 133.3 mata. Walaupun kebimbangan mengenai inflasi dan ketidaktentuan ekonomi berlarutan sepanjang tahun, pasaran hartanah Malaysia terus menunjukkan kestabilan dan keupayaan dalam menyesuaikan diri dengan beberapa polisi baharu kerajaan.
Bulan Disember yang terakhir ini telah dilengkapi dengan peningkatan gaji kakitangan sektor awam bagi fasa pertama; sedikit sebanyak akan memberi impak kepada harga rumah dan perancangan pembelian dan pelaburan perumahan yang lebih kompetitif pada tahun hadapan.
Dengan cabaran dan jangkaan harga rumah yang akan melambung tinggi pada tahun 2026 kerana beberapa faktor antaranya peningkatan gaji sektor awam untuk fasa kedua pada tahun tersebut ditambah pula dengan pelaburan asing dalam negara yang semakin meningkat, pembeli dan pelabur harus berjaga-jaga untuk tahun 2026.
Untuk itu, tahun 2025 merupakan peluang sesuai untuk bakal pembeli dan pelabur. Bagi pelabur, jangan lepaskan peluang anda untuk melabur di kawasan pelaburan baharu dan berpotensi tinggi seperti di Johor Bahru, Sabah dan kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur. Kawasan ini bukan sahaja menawarkan pertumbuhan harga kompetitif tetapi pulangan pelaburan jangka panjang yang kukuh.
Manakala, bagi pembeli rumah pula, jika anda bercadang untuk membeli rumah impian atau ingin memulakan pengalaman dalam pelaburan hartanah, inilah masanya. Jika polisi kerajaan untuk tahun hadapan masih kekal sama, manfaatkan segala insentif dan skim pembiyaan yang tersedia buat pembeli rumah kali pertama.
Selain itu, kenal pasti kawasan berpotensi tinggi dengan sokongan perancangan infrastruktur yang telah dirancang oleh kerajaan. Kawasan sekitar seperti, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan laluan bagi Transit Aliran Deras 3 (LRT 3) antara kawasan yang seharusnya diberi perhatian buat para pelabur dan pembeli.
Ketika kita melangkah ke tahun baharu ini, satu perkara yang pasti – pasaran hartanah Malaysia kekal relevan sebagai medan yang menjanjikan pertumbuhan dan peluang bagi yang bersedia merebutnya. Jangan tunggu lebih lama! Tahun 2025 bukan hanya tentang memiliki rumah tetapi membina masa depan yang lebih baik, stabil dan kukuh untuk tahun selepasnya!
Sr Dr Ahmad Fawwaz Saleh
Pensyarah Kanan
Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina
Universiti Malaya
E-mel:
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.