fb fb fb fb fb

Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat", wadah mengangkat semula martabat negara

(Perdana Menteri menyampaikan ucapan dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI
Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia/BERNAMA)

ULASAN BERITA

"Membangun Malaysia Madani" ... wacana yang diangkat tepat pada masanya.

Pelaksanaannya menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dengan rakyat, berpegang pada asas ketelusan dan kerjasama. Satu demi satu perancangan diketengahkan.

Umum mengetahui, agenda dasar kerangka Madani memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.

Nah! Semalam, satu lagi inisiatif Kerajaan Perpaduan, diumumkan.

Ya, "Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat", kerangka ekonomi baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dianggap sebagai satu wadah mengangkat semula martabat negara ini.

Tumpuan terarah kepada dua perkara, iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan impaknya yang bakal memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih berkualiti. Ternyata, ia akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumum kelak.

Antaranya, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.


(Perdana Menteri merasmikan Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat
di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia/PMO)

Dalam hal ini, Perdana Menteri ada menjelaskan, bahawa Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek dan sederhana. Menyaksikan inisiatif jangka pendek sudahpun digerakkan bagi menangani isu-isu segera yang memberi kesan kepada rakyat.

Meliputi usaha seperti menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif. Selain menoktahkan kemiskinan tegar, iaitu melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan pengenalan konsep Payung RAHMAH - cetusan idea Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub bagi menangani cabaran kos sara hidup.

Berbalik kepada kerangka Ekonomi MADANI itu sendiri, ia sebenarnya antara pelbagai ikhtiar yang dilaksanakan di bawah Belanjawan MADANI 2023. Ia menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun.

Pertama, Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia. Kedua, Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia. Manakala penanda aras ketiga melibatkan peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Keempat pula, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus disasarkan.

Di samping itu, Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia menjadi penanda aras kelima. Seterusnya yang keenam, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan akhir sekali iaitu ketujuh mencakupi Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah.

Apapun, bagi merealisasikan hasrat tersebut, ia pastinya mendambakan usaha kolektif. Memandangkan Malaysia perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran. Serta melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau ASEAN.

Sementelah merujuk kepada penanda aras utama Ekonomi MADANI ialah sasaran negara untuk meningkatkan ekonominya, iaitu naik ke tangga ke-30 daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022. Dengan menumpukan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar dan meningkatkan rantaian nilai.

Biarpun usaha kerajaan dilihat tegas dalam mendepani cabaran ke arah pemulihan ekonomi negara, kerajaan sememangnya tidak lupa mengambil langkah selamat untuk melindungi rakyat. Ini dengan memperluas jaringan perlindungan sosial menerusi tiga tunjang, sekiranya berlaku hal-hal tidak diingini.

Apa yang pasti, Ekonomi MADANI, memberi perkhidmatan terbaik sekali gus membantu ruang fiskal Kerajaan agar hasrat merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam, menjadi kenyataan. Menyaksikan Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan khas penghargaan buat penjawat awam dan pesara kerajaan. Bantuan yang bakal memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak, dan lebih sejuta pesara.

Selain itu, kredit e-tunai sebanyak RM100 juga ditawarkan kepada semua rakyat dewasa berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah. Dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat, golongan B40 dan M40, dengan peruntukan RM1 bilion.

Kesemua bayaran bantuan berkenaan akan dibuat dalam tempoh dua minggu dari sekarang. Pada saat kerajaan terus komited untuk menyelaraskan gaji penjawat awam.

Sesungguhnya, dapat dirumuskan bahawa Ekonomi MADANI merupakan satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan. Serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Jelas, konsep MADANI tidak meminggirkan mana-mana aspek penting dalam kehidupan rakyat dan pembangunan sesebuah negara. Sebaliknya memperincikan segala skop yang mengiktiraf hak setiap warganegara Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk hidup dalam persekitaran yang mampan dan menyumbang kepada kesejahteraan bangsa.

Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacop, Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu