SAUDARA PENGARANG
Malaysia sebuah negara demokrasi tanpa gagal memperkasa agenda perpaduan nasional secara berterusan. Agenda tersebut membuktikan keseriusan kerajaan bagi menangani sebarang polemik yang boleh menyemarakkan dampak api permusuhan, tanpa ragu akan menganggu gugat kesejahteraan nasional sejagat. Negara bernaung bawah Rukun Negara yang berpaksikan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Sejak berabad, Malaysia berdiri teguh sebagai sebuah negara yang wujud atas dasar saling hormat menghormati dan berkasih sayang. Namun, sejauh mana dasar itu dapat difahami bahkan meresapi setiap perilaku rakyat yang luhur dan berjiwa merdeka. Kegemilangan sesebuah negara itu dizahirkan melalui penglibatan pelbagai pihak yang tidak mudah menyerah serta berpendirian utuh mempertahankan kedaulatan sesebuah negara itu. Kesetiaan itu mahal nilainya bahkan proses memilikinya akan melalui sebuah proses yang panjang dan berterusan.
Tiada mana-mana warganegara di dunia ini mendambakan persengketaan. Mustahil bagi sesebuah negara itu mengangkat nilai permusuhan sebagai teras kemajuan sesebuah negara. Malaysia juga tidak terkecuali. Pelbagai usaha giat dijalankan terutama aspek menepis diskriminasi perkauman. Sebagai sebuah negara yang kian gagah menongkah arus modenisasi, perpaduan menjadi elemen terpenting untuk diberi perhatian serius. Bagaimanapun, hal perpaduan ini terus mendewasakan pelbagai pihak supaya menyemai rasa hormat dengan nilai keharmonian yang sangat tinggi.
Pengalaman pentadbiran negara sejak 68 tahun dahulu telah mendewasakan kepimpinan negara. Dasar pecah dan perintah yang telah diperkenalkan oleh British pada era penjajahan membuktikan daya mengurus itu sangat bagus dan dipercayai. Oleh sebab itu, proses rundingan menuju kemerdekaan menjadi mudah. Pengujian terhadap usaha penyatuan tiga kaum utama ketika itu dapat dihadapi dengan berhemah dan bijaksana. Sebagai rakyat Malaysia, berbanggalah dengan keilmuan serta ketokohan generasi terdahulu menyelesaikan sesuatu kemelut.
Kini, tugas kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, peliharalah perpaduan ini dengan baik tanpa wujud gunting dalam lipatan mahupun api dalam sejak hanya kepuasan diri sendiri semata-mata. Jadilah penerus negara bangsa yang faham erti syukur agar setiap tingkah laku kita tidak tersasar. Usah menyalahgunakan hak kebebasan dan bernegara dengan bertindak baling batu sorok tangan.
Belenggu Perkauman Hanya Merugikan
Kembali menyoroti peristiwa hitam 13 Mei 1969 telah menguji struktur sosial negara. Hal ini berpunca daripada ketegangan kaum yang berlaku pada akhirnya berlaku pergaduhan besar sehingga ada yang terkorban. Peristiwa berdarah ini telah mengheret campur tangan kerajaan secara drastik sehingga membawa kepada tindakan perisytiharan darurat. Bayangkan hal yang sama tercetus akibat amalan provokasi mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
Struktur sosial yang seimbang perlu melibatkan pengamalan nilai-nilai murni oleh setiap rakyatnya. Amalan ini mungkin ditafsir mudah tetapi memerlukan kesungguhan. Oleh yang demikian, asimilasi budaya dapat mempererat kesalinghubungan antara kaum yang lebih baik. Setiap perbezaan yang dirai dipercayai dapat merapatkan jurang sosial dalam negara sekali gus prinsip bernegara itu diterapkan dengan menjadi mudah,
Kenapa Perlu Bersengketa? Berpijak di Bumi Nyata Tanpa Prejudis
Malaysia adalah sebuah negara yang unik. Justeru, semua rakyat adalah disaran untuk fahami lakaran sebuah negara bangsa yang mengangkat nilai perpaduan. Akhirnya, sebuah negara bangsa itu dapat direalisasikan secara harmoni. Benar, modenisasi sesebuah negara tidak wajar diketepikan namun alangkah ruginya sekiranya aspek perpaduan ini dipandang enteng.
Dasar Perpaduan Negara menjadi teras kepada usaha mewujudkan sebuah norma kehidupan bermasyarakat yang harmoni. Dasar ini dipercayai dapat melancarkan pertumbuhan sebuah negara yang lebih dinamik. Kementerian Perpaduan Negara sebagai badan bertanggungjawab perlu memastikan agenda nasional dapat dicapai secara saksama tanpa terarah pada pendiskriminasian kaum. Daya inilah yang memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia sekali gus bersatu padu, inklusif, dan berdaya tahan dengan menfokuskan tiga teras utama iaitu patriotisme dan demokrasi, identiti nasional, dan ekosistem perpaduan.
Melengkapkan hampir tujuh dekad usia kemerdekaan negara, tahap kefahaman yang tinggi terhadap nilai sejarah negara dapat membantu setiap warganya untuk berpegang teguh pada semangat nasionalisme. Hal ini secara tidak langsung akan mendorong tindakan setiap Individu yang berjiwa merdeka. Justeru, isu terkait dengan Jalur Gemilang, melafazkan ikrar Rukun Negara bahkan soal menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku tidak wajar diragui. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, pengamalan nilai kesopanan dan kesusilaan menjadi daya tujahan kepada semangat patriotik yang tinggi tanpa paksaan.
Meski rencana modenisasi negara perlu digerakkan, sedikit kealpaan mengundang perbalahan sekaligus sejarah hitam berulang kembali. Maka, usaha pembinaan sebuah negara yang kian sempurna kini terpaksa direset. Sebagai rakyat, risiko ini menuntut warganya yang waras akal fikirannya agar setara dengan usia kematangan kemerdekaan negara.
Kita sedar, ledakan teknologi maklumat yang semakin pesat telah mengarah satu dimensi penglibatan rakyat yang lebih kompleks. Tahun 2025 menjadi lembaran baharu kepada kelahiran generasi baharu. Generasi 'Beta' mulai mengisi daftar kelahiran negara jelas menuntut satu standard kenegaraan dalam diri setiap Individu menerusi kedahaman nilai sejarah serta kesedaran sivik yang inklusif.
Namun, sejauh manakah generasi ini bersedia mengimbang cabaran arus permodenan sering perkembangan pesat teknologi. Persediaan ini perlu bermula dari sekarang kerana proses didikan itu memerlukan tempoh yang panjang dan konsisten terhadap tatacara hidup bernegara di dalam sebuah negara yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Sempena sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025, bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni dipercayai dapat menjadi katalis kepada usaha untuk menggelorakan nilai kenegaraan dan patriotisme dalam kalangan rakyat melibatkan pelbagai kategori generasi serta demografi rakyat.
Sudah tiba masanya, rakyat menilai peranan masing-masing dalam mempraktiskan keamanan dan kesejahteraan kaum. Objektifnya jelas yakni mewujudkan kesejahteraan sebuah negara itu agar selari dengan refleksi terhadap tindakan warganya supaya bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam yang hanya dirai pada bulan kebangsaan semata-mata. Apa yang perlu difahami, semangat kebangsaan ini bukan bermusim apatah lagi sekadar sambutan. Kenegaraan bermaksud kita sedar akan tanggungjawab sebagai rakyat, menghargai nikmat kemerdekaan, dan sentiasa berusaha untuk menjaga perpaduan yang telah dibina bersama.
Rakyat Sebagai Pemegang Amanah Perpaduan
Dalam landskap negara majmuk, sikap rakyat memainkan peranan utama selain didasari dengan dasar-dasar semasa. Tidak kira status atau gelaran, elakkan provokasi kaum serta menolak stereotaip perkauman. Demikian merupakan barah yang berpotensi merosak keharmonian yang ditonjolkan menerusi pengamalan generasi terdahulu dengan mengamalkan nilai hormat menghormati serta bergotong royong.
Rakyat Malaysia bukan sekadar pewaris kemerdekaan malah sebagai pemegang taruh kepada kestabilan negara. Oleh itu, teras MADANI menyeru setiap rakyat untuk menerapkan elemen positif pada diri setiap Individu. Setiap langkah yang baik itu bermula dengan diri sendiri. Pemerkasaan aspek pendidikan, ibu bapa sebagai pelengkap kepada usaha tersebut.
Namun begitu, kita masih berdepan dengan cabaran seperti prasangka antara kaum. Kajian menunjukkan ramai rakyat Malaysia masih mempunyai tanggapan negatif terhadap kaum lain. Ini membimbangkan bahkan memberi ancaman kepada setiap aspek. Meski tidak menyeluruh tetapi mencegah itu lebih baik daripada merawat. Ketidakstabilan perpaduan antara kaum boleh mengakibatkan suasana ekonomi yang tidak stabil, keseimbangan sosial yang terjejas sekaligus kematangan geopolitik negara tidak tercapai.
Bebaskan Diri daripada Belenggu Perkauman
Siapa pun diri kita, usah bermain dengan api perkauman. Tampak mudah tetapi usah diuji dampak persengketaan itu kerana berpecah belah itu hanya merugikan. Sehubungan itu, tanpa penghayatan dan kefahaman hanya sia-sia. Integrasi nasional juga telah memberi nilai tambah terhadap kualiti hidup rakyat Malaysia apabila perbezaan dirai menerusi perayaan.
Penstrukturan perpaduan yang lebih dinamik dapat dicapai dengan baik apabila setiap rakyat mendapat manfaat. Amalan kunjung mengunjungi pada musim perayaan, kiriman ucapan selamat merupakan tingkah laku yang kelihatan mudah tetapi memberi impak sangat besar terhadap kepelbagaian. Bukankah itu lebih baik dan mendamaikan? Semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keharmonian negara.
Perpaduan ini bukan tugas pemimpin semata-mata walhal ibu bapa, anak-anak, remaja, guru, dan masyarakat mempunyai peranan tersendiri bagi jayakannya. Ketinggian nilai kefahaman itu menjadi asas konkrit kepada kemajuan sesebuah negara sekaligus dapat melangkah jauh seiring kekuatan nasionalisme rakyat tanpa had dan sempadan. Usah zahirkan erti kenegaraan umpama menanam tebu di tepi bibir sehingga kita leka dan alpa. Semua pihak memainkan peranan penting ini supaya tidak dianggap retorik semata-mata.
Malaysia hanya akan mencapai visi negara bangsa yang berjaya sekiranya rakyatnya benar-benar bersatu. Perpaduan ini boleh dicapai dengan sempurna selagi mana rakyatnya berpegang teguh pada pembentukan sebuah negara demokrasi yang menjulang prinsip ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ yang sangat utuh. Itu sebagai asas pegangan yang kuat dengan mendasari tingkah laku setiap rakyatnya di samping tertakluk pada keluhuran perlembagaan.
Sehubungan itu, usaha ini merupakan peranan kolektif kita semua. Sempena Hari Kebangsaan ini, marilah kita sama-sama berikrar untuk memadamkan api perkauman dan menyalakan obor perpaduan. Tanah air ini milik kita bersama, dan masa depannya terletak pada semangat kebersamaan yang telah kita pupuk sehingga ke hari ini.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Kamarul Fazrin bin Zahardin
Penolong Pengarah
Bahagian Penerbitan Dasar Negara
Jabatan Penerangan Malaysia
e-mel: