Cabaran doktor muda, peluang memperkukuh sistem kesihatan negara

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Peraturan waktu kerja lebih tegas dan kemanusiaan untuk elak keletihan melampau serta risiko keselamatan pesakit.
  • Perjelas laluan kerjaya dan semak ganjaran agar doktor muda kekal, mendapat pengiktirafan dan agihan doktor lebih seimbang.
  • Pelaksanaan sokongan kesihatan mental, kurangkan beban pentadbiran dan wujudkan program bimbingan berstruktur melalui kerjasama pelbagai kementerian.

Terdapat satu kisah seorang doktor pelatih, setelah kepenatan bekerja lebih 36 jam tanpa henti, akhirnya berpeluang menarik nafas lega. Saat itu, barulah terasa nikmat sebenar untuk berehat.

Namun, tubuhnya sudah terlalu lelah: Kaki terasa berat untuk melangkah, tangan seolah-olah tiada kudrat, dan mata meronta memohon untuk dilelapkan. Dalam keadaan itu, beliau tetap menggagahkan diri menuju ke kereta, demi pulang ke rumah dan menyelesaikan tuntutan kehidupan yang lama tertunda.

Sampai di dalam kereta, telefon bimbitnya berbunyi, satu e-mel peringatan diterima: Permohonan untuk menyambung kontrak kerja bagi tahun hadapan. Dalam keletihan yang belum reda, beliau termenung seketika. Lalu terlintas satu persoalan yang sukar ditepis: “Adakah semua ini benar-benar berbaloi?”

Inilah antara realiti kerja yang bakal dilalui oleh seorang pelajar perubatan. Setelah berhempas pulas menamatkan pengajian, keyakinan terhadap jaminan masa depan dalam sistem kesihatan negara semakin menipis. Situasi ini bukan lagi sekadar kebimbangan individu, tetapi satu isyarat awal kepada krisis yang lebih besar.

Dilema ini bukan sekadar persepsi. Satu kajian kebangsaan pada tahun 2024 yang melibatkan 859 pelajar perubatan dari 21 institusi mendapati hanya 37.8 peratus yang melihat masa depan mereka dalam sektor kesihatan awam secara positif.

Persoalan besar yang perlu ditanya ialah: Apakah yang sedang berlaku kepada sistem kita? Krisis kekurangan doktor pelatih atau Pegawai Perubatan Siswazah (HO) yang berlaku hari ini tidak boleh dilihat secara terasing.

Ia adalah hasil daripada rentetan dasar dan perancangan tenaga kerja yang tidak konsisten sejak lebih satu dekad lalu. Pelbagai langkah sementara mungkin menyelesaikan masalah jangka pendek. Namun, dalam masa yang sama mencipta cabaran baharu yang kini semakin terserlah.

Dalam masa yang sama, pengalaman latihan doktor muda turut menjadi faktor yang tidak boleh dipandang ringan. Beban kerja yang tinggi, tempoh bertugas yang panjang, serta tekanan emosi dan fizikal yang berterusan menjadikan latihan perubatan satu proses yang amat mencabar.

Dalam keadaan tertentu, pengalaman ini bukan sahaja menguji ketahanan diri, malah boleh menjejaskan motivasi untuk terus kekal dalam sistem awam.

Bagi sebahagian graduan, termasuk Graduan Perubatan Antarabangsa Malaysia (MIMG), cabaran ini menjadi lebih kompleks.

Selain perlu menyesuaikan diri dengan sistem kerja tempatan, mereka turut berhadapan dengan jurang komunikasi, perbezaan istilah klinikal, serta proses pentadbiran yang mengambil masa sebelum dapat memulakan latihan.

Beban kewangan akibat pinjaman pengajian, khususnya bagi mereka yang belajar di luar negara, turut menambah tekanan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Semua faktor ini akhirnya membentuk satu gambaran yang jelas: Cabaran yang dihadapi bukan sekadar isu individu, tetapi mencerminkan tekanan sistemik yang memerlukan perhatian segera.

Bagi memulihkan keyakinan generasi doktor masa hadapan, pembaikan yang lebih menyeluruh dan berani perlu dilaksanakan. Beberapa langkah strategik yang utama perlu diberi perhatian.

Pertama, waktu bekerja perlu dikawal selia dengan lebih tegas dan berperikemanusiaan. Amalan bekerja sehingga 30 jam tanpa henti bukan sahaja tidak mampan, malah berisiko kepada keselamatan pesakit.

Negara seperti Singapura telah melaksanakan sistem night float, di mana satu pasukan khas mengendalikan syif malam secara bergilir, manakala Australia menetapkan had jam kerja mingguan yang jelas bagi mengelakkan keletihan melampau.

Kedua, laluan kerjaya perlu diperjelaskan dengan lebih telus. Ketidakpastian mengenai penyerapan ke jawatan tetap dan peluang kepakaran merupakan antara faktor utama yang melemahkan semangat doktor muda.

Model seperti di Singapura yang menawarkan laluan alternatif seperti skim “Hospital Clinician” boleh dijadikan rujukan, di mana pegawai perubatan boleh terus berkhidmat dalam sistem hospital tanpa tekanan untuk menjadi pakar, tetapi masih diberi pengiktirafan kerjaya yang jelas.

Ketiga, struktur ganjaran perlu disemak semula agar lebih setimpal dengan beban tugas. Selain gaji asas, elaun kesusahan bagi penempatan bertekanan tinggi atau kawasan pedalaman perlu dipertingkatkan.

Ini penting bukan sahaja untuk mengekalkan tenaga kerja, tetapi juga untuk memastikan pengagihan doktor yang lebih seimbang di seluruh negara.

Keempat, sokongan kesihatan mental dan budaya kerja perlu diberi perhatian serius. Budaya kerja yang menekan serta isu buli yang telah lama dinormalkan perlu ditangani melalui mekanisme yang telus dan berkesan.

Di Singapura, inisiatif seperti jawatankuasa kesejahteraan doktor muda, sesi pengurusan tekanan berkala, serta rangkaian sokongan rakan sekerja telah diperkenalkan. Pendekatan sebegini boleh membantu membina persekitaran kerja yang lebih sihat dan menyokong.

Kelima, beban kerja pentadbiran yang tidak sepatutnya perlu dikurangkan. Ramai doktor muda terpaksa menghabiskan masa dengan tugas dokumentasi berulang yang boleh dipermudahkan melalui penggunaan teknologi.

Inisiatif seperti Get Rid of Stupid Stuff (GROSS) di Singapura dan penggunaan jurutulis kecerdasan buatan di United Kingdom menunjukkan bahawa inovasi digital mampu meningkatkan kecekapan tanpa menambah beban kerja klinikal.

Keenam, program bimbingan yang lebih berstruktur perlu diperkenalkan. Latihan perubatan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada sistem hierarki. Sebaliknya, pendekatan mentorship yang jelas dapat membantu doktor muda berkembang dalam suasana yang lebih selamat dan kondusif.

Bagi MIMG, program orientasi khusus termasuk latihan komunikasi klinikal dan pendedahan kepada sistem kerja tempatan juga penting bagi memudahkan proses penyesuaian.

Akhir sekali, penyelesaian kepada isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh dan perlu melibatkan semua pihak. KKM tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi perlu diperkukuh.

Ini bagi menyelaras jumlah graduan dengan keperluan sebenar negara, manakala Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan perlu memainkan peranan dalam memastikan peruntukan dan dasar yang lebih mampan dapat dilaksanakan.

Menyeru semangat pengorbanan semata-mata tidak lagi mencukupi jika sistem itu sendiri tidak mampu menyokong mereka yang berada di dalamnya. Jika kita mahu doktor muda terus berbakti, maka sistem kesihatan perlu menjadi tempat yang memberi harapan, bukan sekadar tuntutan.

Ini kerana apabila keyakinan generasi pelapis mula goyah, yang terkesan akhirnya bukan sahaja profesion itu sendiri, tetapi keseluruhan sistem kesihatan yang menjadi sandaran rakyat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
e-mel: azrilshahreez@iium.edu.my


Dr Mohd Salami Ibrahim
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.