
KOTA BHARU, 10 September – Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiaminya di kawasan Pasar Gok Kapor dekat Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini terbakar pada Khamis.
- Mangsa dikenalpasti sebagai Kang Choo Hock, 66, ditemukan di bilik air dan disahkan meninggal di tempat kejadian pada 9.37 malam.
- Kebakaran memusnahkan kira-kira 95 peratus struktur rumah; operasi berjaya dikawal pada 9.24 malam.
- Operasi melibatkan 35 anggota, tiga jentera FRT, lori tangki, Proton Arena; panggilan NG999 pada 8.43, jentera tiba 8.52 malam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu Mohd Ridzuan Baharudin berkata mangsa Kang Choo Hock, 66, ditemukan di dalam bilik air pada 9.37 malam dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui NG999 pada 8.43 malam sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira lima kilometer dari BBP Kota Bharu pada 8.52 malam.
“Berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal berukuran kira-kira 30×50 kaki, dengan anggaran 95 peratus struktur rumah musnah terbakar. Operasi berjaya dikawal pada 9.24 malam dan pasukan masih menjalankan tindakan lanjut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Ridzuan berkata operasi pemadaman menggunakan dua aliran pam jentera dengan empat pancutan air sepanjang 300 kaki melibatkan 35 anggota daripada BBP Kota Bharu, BBP Kota Darul Naim dan BBP Pengkalan Chepa serta aset tiga jentera FRT, sebuah lori tangki dan sebuah Proton Arena.
Sementara itu, saksi yang membuat panggilan kecemasan, On Peng Lun, 33, berkata beliau bersama saudara mangsa ketika kejadian sebelum mereka menghubungi bomba dan bergegas ke lokasi.
Beliau berkata mangsa dipercayai berseorangan ketika kejadian dan mungkin tidak sempat menyelamatkan diri selepas api marak dengan cepat.- BERNAMA