SPAN kesan premis gagal kosongkan tangki septik hingga 20 tahun

Sebanyak 315 buah premis telah disenaraikan untuk pemeriksaan menerusi Op Kejor 1 yang dilaksanakan tiga hari bermula hari ini/ BERNAMA

IPOH, 10 Jun – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesan terdapat premis yang tidak pernah menjalankan kerja pengosongan tangki septik hingga 20 tahun, sekali gus menimbulkan risiko pencemaran alam sekitar dan kesihatan awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Punca utama: pertukaran pemilik, kegagalan mematuhi notis dan kurang kesedaran mengenai penyelenggaraan sistem pembetungan.
  • Tangki septik yang tidak dikosongkan berkala kehilangan keupayaan merawat, menyebabkan air separa terawat mengalir ke longkang dan parit.
  • SPAN dan IWK jalankan Op Kejar 1 semak 315 premis; pemilik wajib lantik IWK atau Permit E, berdepan denda hingga RM50,000 atau penjara.

Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN Ainal Yusman Mohamad Yusop, berkata kebanyakan kes berkenaan berpunca daripada pertukaran pemilik premis, kegagalan mengambil maklum notis dikeluarkan serta kurangnya kesedaran mengenai kepentingan penyelenggaraan sistem pembetungan.

“Ada yang sudah melebihi dua kitaran pengosongan dan ada juga premis didapati tidak pernah menjalankan kerja pengosongan hingga 20 tahun.

“Apabila tangki septik yang tidak dikosongkan secara berkala maka ia akan kehilangan keupayaan untuk merawat air kumbahan dengan sempurna, menyebabkan air separa terawat mengalir ke longkang dan parit,” katanya kepada pemberita selepas Op Kejar 1 yang dijalankan bersama Indah Water Konsortium (IWK) di Kawasan Perindustrian Menglembu.

Operasi turut dihadiri Ketua Wilayah Utara Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK Wan Abdul Jalil Wan Husain.

Dalam perkembangan sama beliau memaklumkan, sebanyak 315 buah premis akan diperiksa menerusi operasi tiga hari yang dilaksanakan sehingga Jumaat ini, melibatkan kawasan Perindustrian Menglembu dan Chandan Jaya, Ipoh.

Menurutnya lagi, operasi berkenaan merupakan yang keempat dilaksanakan SPAN dan IWK selepas Op Kasturi di Melaka, Op Mutiara di Pulau Pinang dan Op Haruman di Perlis.

“Di bawah Seksyen 65(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, seorang pemilik tangki septik hendaklah menyenggara dan menjaga sistem tersebut dengan melantik pemegang lesen perkhidmatan iaitu IWK atau pemegang Permit E untuk menjalankan nyahenap cemar ke atas tangki septik miliknya pada tempoh yang telah ditetapkan.

“Mana-mana individu yang gagal mematuhi peruntukan itu boleh dikenakan denda hingga RM50,000 jika disabitkan kesalahan manakala Seksyen 66(1)(a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, pemilik yang bertanggungjawab boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

“SPAN akan memberi tempoh dua minggu kepada pemilik premis yang menerima notis pematuhan untuk mengambil tindakan sebelum langkah penguatkuasaan lanjut dilaksanakan,” tegasnya.

Sehingga 2025 terdapat kira-kira 1.38 juta tangki septik individu di seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, dengan 258,650 daripadanya berada di Perak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.