
PUTRAJAYA, 10 Jun– Seramai 13 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Sepang, Selangor selepas disyaki menjalankan perniagaan dan bekerja menggunakan Pas Lawatan Sosial.
- Perniagaan didaftarkan atas nama rakyat Malaysia tetapi dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing.
- Bahagian Penguatkuasaan Imigresen memeriksa enam kedai runcit dan pasar raya mini; penggunaan kod QR dan akaun bank warga asing dikesan.
- Kes disiasat di bawah undang-undang imigresen, Akta Pasport dan ATIPSOM; suspek ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati kebanyakan perniagaan dipercayai menggunakan lesen yang didaftarkan atas nama rakyat Malaysia, namun dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya memeriksa enam kedai runcit dan pasar raya mini dalam operasi berkenaan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta tiga lelaki warga Bangladesh.
Kesemua yang ditahan disyaki menjalankan aktiviti perniagaan dan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dengan bekerja di premis-premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Datuk Zakaria, antara modus operandi yang dikesan ialah penggunaan kod QR dan akaun bank yang dipercayai milik warga asing bagi urusan pembayaran.
Sebahagian kedai turut menjual produk dan barangan yang disasarkan kepada pelanggan warga Bangladesh.
Kesemua individu berkenaan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 serta peruntukan berkaitan bawah Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Datuk Zakaria berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara termasuk bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).