
SEREMBAN, 2 Julai – Statistik penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan kini berada pada tahap membimbangkan.
- Syabu dikenalpasti sebagai jenis dadah paling banyak digunakan oleh pemandu kenderaan perdagangan.
- Penyalahgunaan ketum semakin meningkat dan menjadi pilihan dalam kalangan pemandu.
- Dadah digunakan dipercayai untuk tenaga tambahan pada perjalanan jarak jauh, mengancam keselamatan semua pengguna jalan raya.
- AADK menekankan kerjasama dengan JPJ; operasi pertama periksa 244 pemandu, 22 positif: 14 syabu, 2 ganja, 6 ketum.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh, jenis dadah Syabu dikenali pasti sebagai antara jenis dadah paling banyak digunakan oleh golongan berkenaan.
Terbaharu, penyalahgunaan ketum turut dikesan semakin menjadi pilihan.
Menurut beliau, penggunaan bahan terlarang itu dipercayai bertujuan memberi tenaga tambahan kepada pemandu, khususnya bagi perjalanan jarak jauh.
Jelasnya, perkembangan itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja membahayakan pemandu terbabit, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Ini jelas menunjukkan peningkatan, dan ini baru hari pertama operasi JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan). Namun, indikator ini menunjukkan bahawa perkara ini bukan lagi isu yang boleh dipandang ringan, malah telah mencapai tahap yang serius.
“Saya melihat kerjasama dengan JPJ amat penting sekali. Kita perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang mengambil dadah semasa memandu kenderaan perdagangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Operasi Bersepadu Dadah Pemandu Kenderaan Perdagangan di sini, malam tadi.
Setakat hari pertama operasi dijalankan, seramai 244 pemandu telah diperiksa.
Daripada jumlah itu, 22 pemandu dikesan positif dadah.
Ia membabitkan 14 kes positif syabu, dua kes positif ganja dan enam kes positif ketum.