
SEPANG, 1 Julai – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah bernilai lebih RM1.69 juta di KLIA Terminal 1, pada 29 Jun lalu (Isnin).
- Pemeriksaan lanjut menemui 39 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 21.14 kilogram dalam bagasi.
- Rampasan dicapai menerusi pemeriksaan bagasi menggunakan sistem InLine Baggage Screening FS-1 bersama AVSEC.
- Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada PDRM untuk siasatan; kejayaan tunjukkan keberkesanan kawalan keselamatan berlapis.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan bagasi daftar masuk menerusi sistem ‘InLine Baggage Screening’ (ILB) FS-1 yang dijalankan secara bersepadu bersama Aviation Security (AVSEC).
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 39 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 21.14 kilogram yang disembunyikan dalam bagasi.
AKPS memaklumkan dadah berkenaan dianggarkan mampu menampung penggunaan kira-kira 70,333 individu pada satu-satu masa.
Suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Kejayaan ini membuktikan keberkesanan kawalan keselamatan berlapis di pintu masuk negara serta kesiapsiagaan anggota penguat kuasa dalam mengesan pelbagai taktik penyeludupan.
AKPS akan terus memperkukuh kawalan sempadan melalui pendekatan penguatkuasaan bersepadu, penggunaan teknologi pemeriksaan terkini serta kerjasama strategik antara agensi.
AKPS turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyeludupan yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.