
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket curi lori bonded yang aktif beroperasi di empat negeri menerusi Op Lejang Lori Bonded.
- Tujuh lelaki ditahan antara 22 hingga 28 Jun di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur; semua direman bagi membantu siasatan.
- Seorang suspek dikenal pasti sebagai dalang yang mengatur pencuri, stor haram, mekanik, transporter dan pembeli komponen lori curi.
- Sindiket dipercayai terlibat kira-kira 18 kes kecurian lori di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur; kerugian dianggarkan RM1.23 juta.
- Rampasan termasuk beberapa lori, kenderaan lain, peralatan serta komponen bernilai kira-kira RM400,000; 13 akaun dibekukan RM280,836.10.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar a/l S. Muthuvelu berkata, kejayaan itu hasil risikan selama empat bulan bermula Mac hingga Jun lalu.
“Dalam operasi bermula 22 hingga 28 Jun, seramai tujuh lelaki warga tempatan berusia antara 32 hingga 48 tahun diberkas di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek merupakan dalang utama yang bertindak sebagai orang tengah, termasuk mengatur kumpulan pencuri, pengendali stor haram, mekanik, transporter serta pembeli komponen lori curi.
Sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam kira-kira 18 kes kecurian lori bonded di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.23 juta.
Dalam operasi itu, polis turut merampas beberapa kenderaan termasuk tiga motolori Isuzu, sebuah Hino, sebuah Mitsubishi Fuso, sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha Nouvo LC, selain peralatan pemotong, jammer serta komponen lori.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM400,000.
Modus operandi sindiket adalah menerima tempahan daripada pemilik bengkel sebelum mengarahkan pencuri mendapatkan model lori tertentu. Kenderaan dicuri kemudian dibawa ke stor atau bengkel haram untuk dileraikan sebelum komponen dijual secara berasingan pada harga lebih rendah melalui media sosial.
Setiap pencuri dipercayai dibayar antara RM15,000 hingga RM18,000 bagi setiap kepala lori yang berjaya dicuri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001. Setakat ini, sebanyak 13 akaun bank bernilai RM280,836.10 turut dibekukan.
PDRM menasihatkan pemilik lori dan syarikat logistik supaya meningkatkan ciri keselamatan termasuk penggunaan sistem GPS serta memastikan kenderaan diparkir di kawasan selamat.
Pada masa sama, pemilik bengkel diingatkan agar tidak membeli komponen tanpa dokumen sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras jenayah curi kenderaan.