
BUKIT MERTAJAM, 1 Julai – Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditungganginya melanggar tayar yang dipercayai tercicir di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Seberang Jaya, awal pagi tadi.
- Mangsa lelaki berusia 40 tahun, petugas IPK Perlis, disahkan meninggal di tempat akibat kecederaan parah di kepala.
- Kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terlebih dahulu melanggar tayar dipercayai tercicir dari lori, lalu hilang kawalan.
- Seorang penunggang motosikal terjatuh dan terseret, manakala pemandu kereta serta dua penumpang cedera dan dihantar ke hospital.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang ramai diminta tampil dengan maklumat atau rakaman papan pemuka.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, mangsa lelaki berusia 40 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 6.00 pagi melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal.
“Siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dalam perjalanan dari Juru menghala ke Seberang Jaya dipercayai melanggar tayar yang berada di tengah jalan dan disyaki tercicir daripada sebuah lori yang masih belum dikenal pasti.
“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan. Sebuah motosikal yang datang dari arah sama kemudiannya turut melanggar tayar tersebut, menyebabkan penunggangnya terjatuh dan terseret di atas permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta bersama dua penumpangnya mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis kini sedang mengesan pemilik tayar lori yang dipercayai menjadi punca kemalangan tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Aliza Fatim Ismail di talian 017-4046 215 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.