SUV terjunam dalam lombong di Batu Gajah, tiada mangsa ditemui

Sebuah SUV ditemui terjunam dalam lombong di Batu Gajah / Foto JBPM Perak

BATU GAJAH, 23 Julai – Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 ditemui terjunam ke dalam lombong berhampiran Klinik Desa Kampung Sungai Terap, Batu Gajah malam tadi, namun tiada mangsa ditemui.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM Perak menerima panggilan kecemasan; lima anggota BBP Batu Gajah tiba di lokasi dalam masa tiga minit.
  • Hanya sebahagian bumbung kelihatan; anggota memakai jaket keselamatan dan memeriksa dalam air, mendapati tiada mangsa.
  • Dengan bantuan trak penunda, kenderaan dikeluarkan sepenuhnya; operasi tamat pada 12.25 tengah malam dan diserahkan kepada polis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada pukul 11.01 malam sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah tiba di lokasi tiga minit kemudian.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah BMW X5 berada di dalam lombong dengan hanya sebahagian bumbung kenderaan kelihatan di permukaan air.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kemungkinan terdapat mangsa terperangkap di dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, anggota bomba menggunakan jaket keselamatan (PFD) dan menjalankan pemeriksaan dalam air sebelum mendapati tiada mangsa berada di dalam kenderaan.

Dengan bantuan trak penunda, kenderaan itu berjaya dikeluarkan sepenuhnya dari lombong dan disahkan kosong selepas pemeriksaan lanjut dibuat bersama pihak polis.

Operasi tamat sepenuhnya pada 12.25 tengah malam dan kenderaan berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.