
TAIPING, 23 Julai – Empat rumah teres di Taman Assamara, Taiping hampir musnah sepenuhnya dalam kebakaran pada malam Rabu, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
- Panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.23 malam.
- Anggota BBP Taiping dan Kamunting serta PBS dari Kuala Sepetang, Bagan Serai dan Kuala Kurau tiba tujuh minit kemudian.
- Satu rumah musnah kira-kira 85 peratus, rumah berhampiran 50 peratus; dua lagi terjejas 30 dan 10 peratus pada bumbung.
- Kebakaran dikawal pada pukul 11 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.17 tengah malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.23 malam.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dan Kamunting dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Sepetang, Bagan Serai serta Kuala Kurau tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, api didapati sedang marak di rumah bernombor 23 sebelum merebak ke bumbung rumah berhampiran. Rumah tersebut mengalami kemusnahan paling teruk iaitu kira-kira 85 peratus, manakala rumah berhampiran musnah 50 peratus
Dua lagi rumah terkesan, masing-masing mengalami kerosakan 30 peratus dan 10 peratus, terutama pada bahagian bumbung,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, seramai 31 anggota terlibat dalam operasi itu dengan kekuatan beberapa jentera termasuk CFRT, FRT, EMRS, utiliti dan lori tangki air.
Kebakaran berjaya dikawal pada 11 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.17 tengah malam.