
KUANTAN, 23 Julai — Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 26 bungkus air ketum dan 8.5 kilogram daun ketum dalam Op Bersepadu Mitra di sebuah rumah di Felda Sungai Panching Utara, di sini, semalam.
- Seorang lelaki tempatan ditangkap selepas disyaki memproses dan menjual air ketum di sebuah rumah.
- Pemeriksaan menemui pelbagai bahan dan peralatan untuk memproses air ketum di garaj dan dalam rumah.
- Rampasan dianggarkan bernilai RM1,900; suspek dan barang diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuantan.
- Suspek mengaku menjual air ketum sejak Februari dengan harga RM10 setiap bungkus, mendapatkan daun ketum dari kebun keluarga.
Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun turut diberkas selepas dipercayai menjadikan rumah berkenaan sebagai lokasi memproses dan menjual air ketum.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari hasil risikan ke atas rumah terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan di kawasan garaj dan dalam rumah menemukan 26 bungkus air ketum berjumlah 26 liter, 8.5 kilogram daun ketum, sebuah tong plastik, dua tong gas, sebuah periuk, sebuah dapur gas dan sebuah tong ais.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1,900 dan suspek bersama barang kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku memproses dan menjual air ketum di sekitar Felda Panching pada harga RM10 bagi setiap bungkus.
Katanya, suspek turut mengaku mendapatkan bekalan daun ketum daripada pokok yang ditanam di kebun kelapa sawit milik keluarganya sendiri dan menjalankan kegiatan itu sejak Februari lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.