
PASIR MAS, 23 Julai — Dua lelaki ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara selepas disyaki menyeludup 100 kotak minyak masak bersubsidi dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Lubok Jong, di sini, semalam.
- Rampasan 100 kotak minyak masak bersubsidi, setiap satu 17 kg, dan sebuah SUV; nilai rampasan dianggarkan RM24,250.
- Pasukan risik PGA bersama KPDN mengesan SUV mencurigakan di Lebuhraya Rantau Panjang; pemandu memecut sebelum kenderaan dipintas.
- Sindiket dipercayai menggunakan pacuan empat roda, jalan kampung dan pengangkutan air untuk menyeludup minyak masak ke negara jiran; siasatan dijalankan.
Dalam operasi itu, PGA turut merampas 100 kotak minyak masak bersubsidi seberat 17 kilogram setiap satu bersama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM24,250.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, berkata pasukan risik PGA bersama anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pasir Mas serta Kota Bharu mengesan sebuah SUV dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas kira-kira pukul 7 malam.
Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pasukan, pemandu bertindak memecut sebelum memasuki Jalan Ban Repek menghala ke Kampung Pak Teh Kana, namun berjaya dipintas.
“Hasil pemeriksaan menemukan 100 kotak minyak masak bersubsidi di dalam kenderaan itu sebelum dua lelaki tempatan berusia 27 dan 39 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk mengangkut minyak masak bersubsidi ke kawasan tebing sungai sebelum diseludup ke negara jiran melalui pengkalan haram.
“Modus operandi yang digunakan adalah melalui jalan kampung, lorong tikus dan laluan tidak sah bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa sebelum barangan dipindahkan menggunakan pengangkutan air,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.