Suami isteri mengaku tidak bersalah dera anak saudara

Foto RTM

KOTA BHARU, 17 Mei – Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini atas pertuduhan menganiaya anak saudara lelaki mereka yang berusia 10 tahun pada 19 April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh Wan Saiful Azuan, 31, kelindan lori, dan Yujas Nor Aida Jasmin, 29, guru tadika, mengaku tidak bersalah.
  • Pertuduhan dibawa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
  • Jika sabit, boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
  • Mahkamah benarkan ikat jamin RM8,000 setiap seorang; syarat lapor diri di balai polis setiap dua bulan; sebutan semula 15 Jun.

Tertuduh, Wan Saiful Azuan Wan Idris, 31-tahun yang bekerja sebagai kelindan lori,dan pasangannya Yujas Nor Aida Jasmin Mohd Yusoff, 29, seorang guru tadika bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa secara bersama menganiaya kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun satu bulan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Mas, dekat Machang, pukul 10 malam pada 19 April 2026.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala pasangan itu diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli dan Muhd Zulfaqar Saharrudin.

Terdahulu, Nur Syafiqah tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan kes berkenaan serius.

Bagaimanapun, Taufikrullah memohon jaminan diberikan kerana ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari kerana disyaki mendera anak saudara lelaki mereka yang berusia 10 tahun di Kampung Sungai Mas, Machang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.