
SIMANGGANG, 17 Mei -Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan di kawasan semak berhampiran Jalan Lingga dekat Tanjung Beladin, selepas Kampung Rirang di sini, petang semalam.
- JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.46 malam, pasukan BBP Sri Aman dikejarkan ke lokasi.
- Pasukan bomba tiba pada pukul 7.26 malam, mangsa lingkungan 70-an disahkan meninggal oleh pegawai perubatan KKM.
- Anggota bomba mengangkat dan mengeluarkan mangsa ke tepi jalan, mayat diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut dan bedah siasat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.46 petang, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 7.26 malam dan mendapati mangsa yang berusia lingkungan 70-an berada di dalam semak, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba kemudiannya bertindak menjalankan operasi mengangkat dan mengeluarkan mangsa dari kawasan semak tersebut ke tepi jalan utama.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut serta proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.