Sindiket pemalsuan pasport tumpas, tiga warga Indonesia ditahan JIM

Antara dokumen palsu yang dirampas dalam Operasi Khas Jabatan Imigresen (JIM)/ JIM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu lagi sindiket pemalsuan dokumen selepas menahan tiga warga Indonesia dalam Operasi Khas di Taman Sri Kuching dan Taman Bukit Cheras, di sini, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas hasil risikan sebulan serta maklumat orang awam.
  • Dalang utama memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara sektor pembinaan, manakala dua lagi didapati tinggal melebihi tempoh.
  • Disita 119 naskhah pasport palsu pelbagai negara, sebuah mesin pencetak, beberapa telefon bimbit dan wang tunai RM1,500.
  • Sindiket meminda pasport untuk lulus saringan FOMEMA, mengenakan bayaran RM80 hingga RM130; suspek disiasat di bawah akta berkaitan.

Operasi yang bermula pukul 11 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama sebulan serta maklumat yang diterima daripada orang awam.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai sebagai dalang utama sindiket, selain seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing dipercayai ahli sindiket.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun.

“Hasil semakan awal mendapati dalang utama yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan, manakala dua lagi warga asing didapati tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam operasi sama, JIM turut menyita 119 naskhah pasport yang dipercayai palsu, membabitkan 85 pasport Indonesia, tujuh pasport Bangladesh, 22 pasport Myanmar, dua pasport Vietnam, dua pasport India dan satu pasport Nepal.

Turut dirampas ialah sebuah mesin pencetak, beberapa telefon bimbit serta wang tunai RM1,500 yang dipercayai hasil kegiatan sindiket berkenaan.

Menurut Datuk Zakaria, sindiket itu menawarkan perkhidmatan kepada warga asing di sekitar Lembah Klang yang gagal dalam saringan kesihatan di bawah Lembaga Pemantauan Dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

“Pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket mengenakan bayaran antara RM80 hingga RM130 bagi setiap naskhah pasport yang dipalsukan.

Katanya, tangkapan itu adalah kali kelima membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama dan dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun.

Dalang utama disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, manakala dua lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Datuk Zakaria menegaskan JIM akan terus memperhebat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.