
KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Aksi berbahaya segelintir penunggang motosikal ketika menyertai aktiviti permotoran perlu diberi perhatian bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta imej komuniti permotoran terus terpelihara.
- Masalah sering berlaku semasa perjalanan ke lokasi; penunggang melakukan aksi berbahaya seperti Superman dan fly di lebuh raya.
- Pemantauan perjalanan peserta dan penglibatan komuniti penunggang penting untuk mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya.
- Kesedaran perlu bermula daripada penunggang dan individu berpengaruh; penganjur juga perlu ambil tindakan tegas terhadap pelanggar peraturan.
Pakar Automotif, Hezeri Samsuri berkata cabaran utama bukan sahaja berlaku ketika sesuatu acara berlangsung, tetapi turut melibatkan perjalanan peserta menuju ke lokasi penganjuran aktiviti berkenaan.
Katanya, terdapat segelintir penunggang yang melakukan aksi berisiko seperti “Superman” dan “fly” di lebuh raya yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Apa yang saya lihat, masalah lebih banyak berlaku ketika perjalanan ke acara tersebut. Di lebuh raya contohnya, ada yang melakukan aksi seperti Superman, terbang dan pelbagai aksi berbahaya lain.
“Tindakan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bukan sahaja berisiko terhadap keselamatan, malah boleh memberi persepsi negatif terhadap komuniti permotoran,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata pemantauan perjalanan peserta serta penglibatan komuniti penunggang sendiri penting bagi memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan.
Katanya, kesedaran perlu datang daripada kelompok penunggang sendiri dengan bantuan individu yang mempunyai pengaruh dalam komuniti berkenaan.
“Kesedaran terbaik perlu bermula daripada diri mereka sendiri dan kelompok komuniti itu sendiri. Penganjur juga perlu mengenal pasti individu yang mempunyai pengaruh serta mampu menjadi rujukan kepada mereka,” katanya.
Hezeri berkata tindakan tegas juga perlu dikenakan terhadap individu yang sengaja melanggar peraturan atau membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.