
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Keselamatan serta pematuhan undang-undang perlu menjadi keutamaan dalam penganjuran mana-mana himpunan permotoran berskala besar.
- Pendaftaran peserta ke lokasi program akan diteliti bersama penganjur untuk mengurangkan risiko kemalangan.
- JSPT utamakan pendekatan strategik dan tidak berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang dalam himpunan permotoran.
- Pelanggaran peraturan serta aksi berbahaya mencemari penganjuran dan menghakis keyakinan masyarakat; semua pihak perlu memainkan peranan.
Justeru, mekanisme yang sesuai antaranya seperti pendaftaran peserta ke lokasi program sedia diteliti pihak berkuasa bersama penganjur bertujuan mengurangkan risiko kemalangan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali menegaskan perkara berkenaan terus diberi perhatian agar insiden yang berlaku seperti dalam penganjuran acara permotoran di Terengganu, baru-baru ini dapat diatasi.
“Isu keselamatan jalan raya ini sangat penting dan perlu mengambil langkah-langkah bersesuaian dalam mengurangkan kes kemalangan.
“Jalan raya bukan ‘medan’ untuk menunjukkan kehebatan masing-masing yang dilihat tidak sesuai,”tegasnya.
Sehubungan itu, JSPT akan mengutamakan pendekatan strategik bagi mengelak risiko lebih besar dalam himpuan seperti itu dan tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.
“Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, saya percaya himpunan acara permotoran boleh dianjurkan secara selamat.
“Namun, pelanggaran peraturan serta aksi berbahaya akan terus mencemari penganjurannya yang boleh menghakis keyakinan masyarakat,”katanya.