Sembilan rumah rosak ‘dipukul’ ribut di Kijal, Terengganu

Salah sebuah rumah yang rosak dalam kejadian ribut di Kampung Yak Yah pada Khamis/ RTM

KEMAMAN, 29 Mei- Sebanyak sembilan buah rumah dan sebuah surau mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di Kampung Yak Yah, Ibok, Kijal, di sini, pada petang Khamis

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribut disertai hujan lebat kira-kira setengah jam menyebabkan beberapa pokok besar tumbang dan merosakkan rumah.
  • Penduduk terkejut dengan angin kencang dan bunyi dentuman kuat, mereka keluar cari tempat selamat selepas pokok tumbang.
  • Hampir keseluruhan bumbung beberapa rumah diterbangkan; 32 mangsa dari lima keluarga dipindahkan ke PPS di SK Ibok sejak pukul 7 malam.

Kejadian ribut disertai hujan lebat kira-kira setengah jam itu turut menyebabkan pokok tumbang sebelum menghempap rumah penduduk hingga mengalami kerosakan teruk.

Seorang penduduk, Abu Bakar Ismail, 77, berkata kejadian itu berlaku ketika beliau bersama keluarga berada di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan angin kencang dan bunyi dentuman kuat.

“Masa itu duduk bersembang dengan anak-anak, tiba-tiba hujan dan ribut kuat. Lepas itu nampak pokok tumbang, kami terus keluar cari tempat selamat. Hujan memang lebat sekali dengan ribut,” katanya.

Beliau berkata mereka sekeluarga bergegas menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi kuat di bahagian dapur rumah sebelum mendapati sebatang pokok durian tumbang menghempap kediamannya.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Ikmal Hafiz Arif, 29, berkata ketika kejadian beliau sedang tidur sebelum terkejut apabila mendengar bunyi kuat di bahagian bumbung rumah.

“Saya sedang tidur, tiba-tiba terkejut tengok atap dah habis terbang. Saya terus lari keluar. Masa itu saya seorang sahaja di rumah,” katanya.

Beliau berkata hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin sebelum dia segera menyelamatkan diri.

Sementara itu, seramai 32 mangsa daripada lima keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok sejak pukul 7.00 malam tadi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.