
MELAKA, 29 Mei -Polis Melaka sedang mengenal pasti identiti mayat yang ditemukan dalam keadaan reput dan dibungkus dengan tilam di sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga, di sini, semalam.
- Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia antara dua minggu hingga sebulan, menurut Ketua Polis Melaka.
- Seorang lelaki tempatan lingkungan 40-an, penghuni premis, ditahan; saringan awal positif syabu dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
- Suspek ditemui dalam keadaan khayal dan belum memberi kerjasama penuh; kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia antara dua minggu hingga sebulan.
Katanya, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang dikenal pasti sebagai penghuni di rumah berkenaan.
“Hasil saringan awal mendapati suspek yang tidak bekerja, positif dadah jenis syabu dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau,” katanya kepada pemberita, di sini.
Dalam pada itu katanya, kejadian disedari pemilik rumah kedai itu ketika datang membuat pemeriksaan selepas gagal menghubungi penyewa premis berkenaan.
“Sebaik masuk ke premis, pemilik terhidu bau busuk sebelum menemui satu bungkusan tilam di ruang tamu dan segera menghubungi polis. Pemeriksaan lanjut menemukan mayat dalam keadaan reput dengan tangan diikat,” katanya kepada pemberita, di sini.
Difahamkan, rumah kedai itu disewa oleh seorang wanita yang kemudian mengarahkan anaknya, iaitu suspek, untuk tinggal di premis tersebut.
Bagaimanapun, ketika ditahan suspek masih berada dalam keadaan khayal bawah pengaruh dadah dan belum dapat memberi kerjasama penuh.
Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.