
KUALA PILAH, 29 Mei- Seorang lelaki berusia 63 tahun terselamat selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh bumbung sebuah rumah di Jalan Kampung Tanjung Bachang, di sini, pada Khamis.
- Kereta hilang kawalan dan merempuh bumbung sebuah rumah di bawah bukit.
- Kenderaan dalam perjalanan dari Seri Menanti ke Seremban sekitar pukul 7.28 malam.
- Dua penumpang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Kuala Pilah.
- Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, siasatan lanjut sedang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata mangsa bersama tiga lagi penumpang dalam perjalanan dari Seri Menanti ke Seremban dalam kejadian sekitar pukul 7.28 malam itu.
“Siasatan mendapati kereta berkenaan telah hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh bumbung rumah yang terletak di bawah bukit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dua penumpang mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah.
“Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan dan penumpang belakang mengalami kecederaan ringan dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Pilah, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang belakang tidak cedera,” katanya.
Superintenden Muhamad Mustafah berkata kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.