Satu lagi guni berisi tulang manusia ditemui di Behor Mali, disiasat sebagai kes bunuh

Tulang manusia ditemui di Behor Mali semalam, hanya kira-kira 31.1 meter dari lokasi penemuan pertama pada 26 Julai lalu / Foto PDRM

KANGAR, 6 Ogos – Polis menemui satu lagi guni berisi tulang manusia di Behor Mali di sini semalam, hanya kira-kira 31.1 meter dari lokasi penemuan pertama pada 26 Julai lalu, sekali gus kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang peniaga lelaki berusia 61 tahun menemui guni berisi tulang ketika menebas semak di tanah milik anak perempuannya.
  • Tulang ditemui terburai dalam guni putih lusuh dan koyak, separuh tertimbus serta dilitupi semak di kawasan sempadan tanah rizab MADA.
  • Barang kes dihantar ke Jabatan Forensik HSB; polis meminta mana-mana ahli keluarga kehilangan tampil dan menghubungi pegawai penyiasat.

Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, bungkusan guni itu ditemui seorang peniaga lelaki berusia 61 tahun kira-kira jam 11 pagi ketika menebas semak di tanah milik anak perempuannya yang baru dibeli kira-kira dua bulan lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati beberapa tulang yang belum dikenal pasti berada dalam keadaan terburai dan terkeluar daripada guni putih yang lusuh serta koyak.

“Guni tersebut ditemui separuh tertimbus dalam tanah dan dilitupi semak-samun di kawasan sempadan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Siasatan lanjut di lokasi kejadian turut menemukan sehelai seluar dalam, sehelai seluar pendek yang lusuh dan koyak serta seutas tali pinggang berhampiran guni berkenaan. Kita percaya tulang dan barangan tersebut telah lama ditinggalkan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ACP Yusharifuddin berkata, semua barang kes dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada jam 4.30 petang semalam bagi menjalankan analisis awal patologi.

“Susulan penemuan terbaharu itu, kes kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes penemuan tulang pertama di lokasi berhampiran pada 26 Julai lalu turut diklasifikasikan semula mengikut seksyen yang sama,” katanya.

Beliau berkata, polis meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga supaya segera tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian turut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Tengku Moh Farid Tengku Ibrahim di talian 019-993 9200.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.