RXZ Members 8.0: Seorang lagi penuntut universiti maut kemalangan

Foto Hiasan

DUNGUN, 3 Ogos – Seorang lagi penuntut universiti yang pulang selepas menyertai Program RXZ Members 8.0 maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arissa Shazzira Zainudin, 21, dari Kuantan disahkan meninggal di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
  • Kemalangan berlaku sekitar 4.55 petang di Kilometer 356 LPT2 berhampiran Bukit Besi; motosikal merempuh belakang kenderaan pacuan empat roda berhenti, mangsa tercampak.
  • Pada 1 Ogos, seorang lagi penuntut Muhammad Bakhtiar Mazlan, 22, maut di Kilometer 354 LPT2 ketika pulang dari program itu.

Mangsa, Arissa Shazzira Zainudin, 21 tahun, dari Kuantan, Pahang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat mengesahkan, kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.55 petang di Kilometer 356 LPT2 berhampiran Bukit Besi.

“Berdasarkan siasatan awal, motosikal ditunggang mangsa dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan untuk berehat,” katanya.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menghadiri Program RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada 1 Ogos lalu, seorang lagi penuntut universiti, Muhammad Bakhtiar Mazlan, 22 tahun, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 354 LPT2 ketika dalam perjalanan pulang daripada program sama.

Setakat ini, enam peserta program berkenaan dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya sama ada ketika dalam perjalanan ke lokasi acara atau ketika pulang ke destinasi masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.