Kes anak Tun Daim gagal isytihar saham, pendakwaan bantah gantung prosiding kes

Asnida Abdul Daim di Mahkamah Kuala Lumpur / Foto RTM


KUALA LUMPUR, 3 Ogos
Permohonan anak perempuan kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk menggantung prosiding kes yang dihadapinya berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat, mendapat bantahan daripada pihak pendakwaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peguam memohon supaya beberapa persoalan undang-undang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan atas alasan persamaan isu perundangan.
  • Pendakwaan membantah, menegaskan fakta kedua-dua kes berbeza dan memerlukan masa untuk menyediakan afidavit jawapan.
  • Mahkamah menetapkan tarikh: 17 Ogos afidavit pendakwaan, 1 September afidavit balasan pembelaan, sebutan 8 September.

Sebelum itu, peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Asnida Abdul Daim memohon agar beberapa persoalan undang-undang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Permohonan tersebut dibuat atas alasan isu yang dibangkitkan mempunyai persamaan dari sudut perundangan dengan kes membabitkan isteri Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid yang turut berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip berkata walaupun permohonan Asnida menyentuh isu perundangan yang sama seperti kes melibatkan isteri Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, namun fakta bagi kedua-dua kes adalah berbeza.

“Salinan permohonan penggantungan prosiding hanya diterima pihak pendakwaan menerusi e-mel pada Jumaat lalu.

“Justeru pihaknya memerlukan masa untuk menyediakan dan memfailkan afidavit jawapan,” katanya ketika prosiding.

Dalam pada itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad menetapkan 17 Ogos sebagai tarikh akhir bagi pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan.

Manakala pihak pembelaan diberi tempoh sehingga 1 September untuk mengemukakan afidavit balasan.

Mahkamah turut menetapkan 8 September sebagai tarikh sebutan kes bagi mendapatkan perkembangan berhubung permohonan penggantungan prosiding tersebut.

Pada 7 April lalu, Asnida, 65, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mengemukakan satu pernyataan bertulis bersumpah yang didakwa tidak mematuhi syarat notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] bertarikh 8 November 2023.

Mengikut pertuduhan, notis yang dihantar oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya atau lebih tinggi pada 14 November 2023 itu tidak dipatuhi apabila Asnida didakwa gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat sebagaimana yang dikehendaki.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.