
BATU BERENDAM, 16 Mac – Polis Melaka berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun selepas disyaki menjalankan aktiviti membaiki dan mengubah suai senjata secara haram dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Tanjung Minyak, Melaka, awal pagi tadi.
- Polis merampas sepucuk pistol Sig Sauer, enam laras senapang angin, 100 butir peluru 9mm kosong dan tiga set walkie-talkie.
- Suspek dipercayai membeli senjata tiruan pada harga RM1,000 hingga RM1,500, mengubah suai dan menjual semula sehingga RM3,000 hingga RM3,500.
- Rekod lampau menunjukkan beberapa kes jenayah; ujian air kencing positif methamphetamine. Kes disiasat di bawah Akta Senjata dan Akta Dadah Berbahaya.
Serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D9 serta Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata dalam serbuan tersebut, polis merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer, enam laras Air Rifle dan komponen, seratus butir peluru jenis 9 milimeter blank cartridges serta tiga set alat komunikasi walkie-talkie.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai membeli senjata tiruan pada harga sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebelum mengubah suainya dan menjual semula pada harga sehingga RM3,000 hingga RM3,500 kepada pelanggan di seluruh negara.
Senjata berkenaan dipercayai dijual kepada pengumpul serta individu yang menggunakan senjata tersebut untuk aktiviti menembak haiwan.
“Suspek sebelum ini pun pernah ditangkap atas kesalahan memiliki senjata api tiruan tersebut dan kali ini kita telah berjaya merampas satu pucuk pistol yang betul. Hasil semakan kita dalam soal siasat terhadap suspek menyatakan pistol tersebut diperolehi daripada penama lain yang datang untuk membaiki senjata tersebut,”
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Batu Berendam, di sini hari ini.
Polis turut mendapati suspek mempelajari teknik pengubahsuaian senjata dipercayai melalui YouTube.
Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk kes pecah rumah, ugutan jenayah, kesalahan berkaitan senjata serta dadah.
Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(A) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.