PGA tumpas cubaan seludup 1,400 anak pokok durian di Pasir Mas

Suspek berusia 35 tahun ditahan bersama 1,400 anak pokok durian di Pasir Mas pada Isnin/PGA

PASIR MAS, 9 Jun– Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki tempatan dan merampas kira-kira 1,400 anak pokok durian yang dipercayai diseludup dari Thailand dalam Op Taring Wawasan di Jalan Besar Kampung Guntong, Jeram Perdah di sini, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Strike Force Kompeni B menahan sebuah lori selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan semasa pemeriksaan di laluan sempadan.
  • Pemandu gagal mengemukakan dokumen; anak pokok disyaki dibawa masuk secara tidak sah dan mungkin mengandungi serangga perosak.
  • Suspek mengaku memperoleh anak pokok dari nurseri di Golok, dibawa masuk melalui laluan sungai dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian.

Dalam operasi kira-kira pukul 3.00 petang itu, pasukan Strike Force Kompeni B, Batalion 8 PGA menahan sebuah lori selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kejayaan itu hasil risikan dan pemantauan berterusan di kawasan sempadan yang dikenal pasti sering dijadikan laluan aktiviti penyeludupan.

“Pasukan bertindak selepas mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas lori berkenaan menemukan sejumlah anak pokok durian di bahagian muatan belakang kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan berkenaan dan disyaki dibawa masuk secara tidak sah dari negara jiran,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengesyaki anak pokok berkenaan berkemungkinan mengandungi serangga perosak yang boleh menjejaskan sektor pertanian negara.

“Hasil soal siasat awal, suspek berusia 35 tahun mengaku memperoleh anak pokok berkenaan dari sebuah nurseri di Golok, Thailand sebelum dibawa masuk ke negara ini melalui laluan sungai untuk dihantar ke Kuala Krai,” katanya.

Kesemua rampasan dan tangkapan dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan bagi siasatan dan tindakan susulan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM190,000 melibatkan sebuah lori dan kira-kira 1,400 anak pokok durian,” katanya.

PGA dalam pada itu memaklumkan pemantauan di kawasan sempadan akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti pembolosan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan serta sektor pertanian negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.