
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Polis sedang mengesan dan mengenal pasti lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan Dato Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), awal pagi Isnin.
- Seorang saksi melihat kumpulan menarik kabel dari lubang utiliti dan menegur sebelum mereka melarikan diri.
- Rakaman CCTV mengesahkan penglibatan suspek yang menggunakan tiga kenderaan BMW, dua putih dan satu hitam.
- TM menganggarkan kerugian sekitar RM20,000; kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hoo Chang Hook dalam kenyataan memaklumkan, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi.
Perbuatan itu dikesan selepas seorang saksi yang sedang menjalankan kerja berkaitan topografi ternampak sekumpulan lelaki menarik keluar kabel daripada sebuah lubang utiliti (manhole).
“Saksi telah menegur kumpulan terbabit sebelum mereka melarikan diri menggunakan tiga buah kenderaan mewah, terdiri daripada dua kereta berwarna putih dan sebuah berwarna hitam.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi mengesahkan penglibatan lima suspek lelaki yang menggunakan tiga buah kenderaan BMW seperti dilaporkan,” menurut kenyataan itu.
Pihak TM yang hadir membantu siasatan mengesahkan kerugian akibat kejadian itu dianggarkan sekitar RM20,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi membantu siasatan.
Video kejadian berkenaan mula tular di media sosial pada 8 Jun lalu, memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai sedang melakukan kegiatan mencuri kabel menggunakan sebuah kenderaan sedan mewah.