
BUKIT KAYU HITAM, 9 Jun – Cubaan menyeludup beras putih yang tidak diisytiharkan dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, menerusi pemeriksaan di Balai Pemeriksaan Kesihatan Blok E, Kompleks ICQS di sini.
- Dokumen pengisytiharan menyatakan konsainan membawa 32 jumbo bag temukut, berat keseluruhan 33,040 kilogram.
- Setelah pemeriksaan, hanya 12 jumbo bag mengandungi temukut; 20 jumbo bag didapati berisi beras putih tidak diisytiharkan disembunyikan di bawah timbunan temukut.
- Berat anggaran beras yang dirampas 20,600 kilogram, nilai anggaran sekitar RM64,000.
- Motolori treler pemandu warga Malaysia lingkungan 20-an serta muatan disita; kes diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk siasatan lanjut.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusof memaklumkan kejadian dikesan selepas pegawai menerima dokumen bagi satu konsainan yang diikrarkan membawa temukut.
“Motolori bersama konsainan berkenaan telah dirujuk ke Balai Pemeriksaan Kesihatan Blok E untuk tujuan pemeriksaan menyeluruh.
“Berdasarkan dokumen pengisytiharan, konsainan tersebut membawa 32 jumbo bag temukut dengan jumlah berat keseluruhan 33,040 kilogram.
“Hasil pemeriksaan mendapati hanya 12 jumbo bag yang mengandungi temukut diletakkan di bahagian atas muatan, manakala 20 jumbo bag lagi didapati berisi beras putih yang tidak diisytiharkan, dipercayai cuba diseludup dengan menyembunyikannya di bawah timbunan temukut.
“Pemeriksaan lanjut ke atas 20 jumbo bag tersebut mendapati setiap satu mempunyai berat kira-kira 1,030 kilogram menjadikan anggaran berat keseluruhan beras yang dirampas sebanyak 20,600 kilogram dengan nilai anggaran sekitar RM64,000,”katanya.
Jelasnya lagi, beras berkenaan tidak mempunyai pengisytiharan kastam.
Serentak itu, motolori treler yang dipandu warga Malaysia berusia lingkungan 20-an bersama muatan beras berkenaan disita dan kes diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk siasatan serta tindakan lanjut.