PGA rampas 688kg beras seludup dari Thailand

Sebahagian 688 kilogram beras Thailand pelbagai jenama yang dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Tumpat, Kelantan/Foto PGA Briged Tenggara

TUMPAT, 25 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 688 kilogram (kg) beras Thailand pelbagai jenama dalam pemeriksaan sebuah van di Jalan Terbok-Tumpat menghala Kelaboran, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA Briged Tenggara tahan pemandu tempatan 45 tahun selepas van dikesan mencurigakan semasa rondaan.
  • Pemeriksaan menemui beberapa guni beras Thailand yang dibawa tanpa dokumen pengesahan.
  • Siasatan awal mendapati beras diambil dari Pengkalan Haram Ular dan dijual di kedai serta pasar tempatan.
  • Suspek dipercayai berurusan dengan tauke Thailand dikenali sebagai 'Kori'; van dan barang dirampas, nilai dianggarkan RM22,752.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang memandu van berkenaan turut ditahan selepas kenderaan itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan kira-kira pukul 8.30 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan di bahagian belakang van menemukan beberapa guni beras berkenaan, manakala pemandu gagal mengemukakan dokumen berkaitan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 688kg beras Thailand pelbagai jenama dibawa menggunakan van berkenaan dan pemandu gagal mengemukakan dokumen berkaitan beras tersebut,” katanya dalam kenyataan malam Isnin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati beras terbabit diambil dari Pengkalan Haram Ular sebelum dibawa untuk dijual di kedai dan pasar sekitar Tumpat.

“Hasil soal siasat mendapati suspek dipercayai aktif dalam kegiatan penyeludupan beras sejak awal tahun ini dan berurusan dengan seorang tauke di Thailand yang dikenali sebagai ‘Kori’,” katanya.

Beliau berkata, van berkenaan turut dirampas bersama satu unit anak kunci, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM22,752.

Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan (KSPBN) untuk tindakan serta siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.