Polis tumpaskan “Geng Manap”, selesaikan 15 kes jenayah

Gambar hiasan

IPOH, 25 Ogos – Polis berjaya menumpaskan kumpulan dikenali sebagai “Geng Manap” dipercayai terlibat dalam beberapa kes kecurian motosikal dan pecah rumah di sekitar daerah itu pada minggu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam suspek berumur 27 hingga 66 ditahan dalam operasi berperingkat antara 11 hingga 18 Ogos.
  • 20 rangka motosikal dan lapan guni komponen dirampas; kumpulan dikaitkan dengan 14 kes curi motosikal dan satu kes pecah rumah, 15 diselesaikan.
  • Kesemua 15 pertuduhan dibawa ke mahkamah; beberapa suspek dihukum penjara 10 hingga 15 bulan, sebahagian diberi jamin RM3,000 hingga RM5,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata enam suspek berusia antara 27 hingga 66 tahun itu ditahan dalam beberapa operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh secara berperingkat dari 11 hingga 18 Ogos lepas.

“Sebanyak 20 rangka motosikal dan lapan guni mengandungi pelbagai komponen motosikal dirampas. Hasil siasatan, kumpulan ini berjaya dikaitkan dengan 14 kes kecurian motosikal dan satu kes pecah rumah, menjadikan keseluruhan 15 kes berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan malam ini (Isnin).

Muhammad Najib berkata kesemua 15 kes berkenaan telah dipertuduhkan di mahkamah hari ini dengan beberapa suspek dijatuhi hukuman penjara antara 10 hingga 15 bulan.

Beliau berkata sebahagian lagi suspek dibenarkan diikat jamin antara RM3,000 hingga RM5,000 sementara menunggu sebutan lanjut kes.

Menurut Muhammad Najib, kes berkenaan melibatkan pertuduhan mengikut Seksyen 411, 414, 457 dan 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Beliau berkata kejayaan itu menunjukkan komitmen berterusan polis dalam membanteras kegiatan kecurian motosikal serta menyelesaikan kes berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan secara berperingkat.- BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.